Tuesday, December 22, 2009

BERDOA UNTUK IBU BAPA

BerDOA. Pictures, Images and Photos


Bagi seseorang anak yang sentiasa mendoakan ibu bapanya yang telah meninggal dunia supaya digolongkan ke dalam golongan orang yang solihin amatlah besar pahalanya.

Anak-anak yang sentiasa berbuat sedemikian amat tinggi darjatnya di sisi Allah.

Sesungguhnya sesiapa yang berdoa untuk ibu bapanya lima kali sehari, dia telah menunaikan tanggungjawabnya kepada mereka.

'

Tuesday, December 8, 2009

DETIK ITU YANG AKAN TIBA

die Uhr Pictures, Images and Photos


Detik itu yang akan tiba
kita akan kehilangan suara
meskipun mata masih terbuka
dengan gerak meneka setiap kata-kata.

Detik itu yang akan tiba
kita akan terhalang langkah dan hala
kaku jasad pada penghujung usia
dengan desahan keliru dan hiba.

Detik itu yang akan tiba
kita bukan lagi kita yang sebenarnya
bakal kembali pada asal dan mula
dengan rentak perbezaan yang tersedia.

Detik itu yang akan tiba
kita tiada lagi apa-apa
dan digenggaman terlepas segalanya
setelah kebenaran menghukum kita.

-MAZEMIE MAZ

(Puisi yang telah disiarkan di ruangan SASTERA-BERITA HARIAN 5 Dis. 2009).

Wednesday, December 2, 2009

KUCING SUKA PANJAT KERETA ANDA? CUBALAH PETUA INI..!

Our water bottles Pictures, Images and Photos

Hari itu, kebetulan singgah lebih kurang pukul 10.20 pagi di rumah seorang rakan. Mata tertumpu kepada tiga botol berisi air di atas kereta Merc hitamnya. Sebotol di atas bonet belakang, sebotol di atas bumbung kereta dan sebotol lagi di atas bonet depan.

Aku yang pada mulanya tak pasti kenapa botol-botol berisi air itu berada di situ, hanya bertanya bersahaja. "Kenapa botol-botol air atas kereta kau tu?"

"Petua tu," jelas rakanku.

"Petua?" aku mengerut dahi.

"Untuk mengelak kucing daripada naik panjat ke atas kereta, terutama waktu malam," jelas rakanku lagi.

"Oh.., ya ke..? Baru pertama kali aku dengar ni!" balasku.

Rakanku tersenyum bersahaja. Mungkin dia tersenyum kerana aku'ketinggalan zaman' agaknya.

"Tak percaya, cubalah..!" tambahnya.

Aku turut tersenyum.

Namun aku tak berkesempatan nak mencuba. Sebab di rumahku tiada kucing-kucing yang berkeliaran.

Jika di rumah anda banyak kecing berkeliaran, bolehlah cuba petua itu. Mudah-mudahan menjadi..!

Selamat mencuba..!

Sunday, November 29, 2009

PANJANG USIA

Old tree i was fixated with in Fort George Pictures, Images and Photos

Panjang usia satu rahmat

namun perjalanannya biarlah berkat

bertimbal balas menanggung kudrat

berlimpah segala hasrat dan hajat

dalam kehidupan yang sihat dan selamat.

Panjang usia wadahnya taqwa

menelusuri keluhuran jiwa

tersiram rahmat mulia dan sejahtera

dengan keredhaan Allah Yang Maha Esa.

Panjang usia biar bermakna

jiwa terisi segala kemuliaan-Nya

berharga setiap tutur dan kata

bernilai setiap amal darjatnya.

Panjang usia tidak akan bererti

sekadar menjadi hiasan dek pandangan sipi

cantik dan molek di luaran yang bukan asli

sedangkan dalaman nanah berbisa jijik dan keji.

Panjang usia biar bertimpalan

kudrat dipacu dgn kejujuran

hati di padu dengan kesempurnaan

biar buruk sekadar di luaran

namun teguh dan kebal keimanan.

Panjang usia rimbun sezaman

hidup berbakti dan berpedoman

ingat pada jasad di hujung perjalanan

sesungguhnya kematian menanti dalam jemputan

biarlah dari awak hingga ke akhiran

sempurna terlindung kesejahteraan.

Nota: Terima kasih buat Arisya, Naim, Ilham, Sofya... atas kiriman e-mel dan komen anda.

Wednesday, November 25, 2009

MANUSIA JENIS APAKAH ITU..?

Hari tu aku bertolak ke Kuantan melalui Muadzam Shah. Dalam perjalanan yang melepasi beberapa kilometer dari Muadzam Shah, perjalanan agak terganggu sedikit. Bukan kesesakan lalu-lintas, cuma ada pemandu yang tidak prihatin, yang memandu terlalu perlahan. Sekadar makan angin agaknya. Tanpa memikirkan pemandu lain di belakangnya. Hampir 20 minit juga aku terpaksa mengekorinya dengan perasaan yang sedikit geram. Mungkin juga perasaan itu turut dikongsi pemandu-pemandu lain yang bersusun-susun di belakangku.

Tetapi kenderaan yang datang dari arah Kuantan agak banyak. Menjadi penghalang untuk aku dan lain-lain pemandu memotong kenderaan yang 'sekadar makan angin' itu.

Setelah mengeluh berkali-kali. (Walaupun sudah banyak kali beristighfar), bila ada kesempatan, akupun terus memotong kenderaan yang 'sekadar makan angin' itu. Dan setelah jauh meninggalkannya, aku terhalang lagi dengan beberapa buah kenderaan yang bergerak perlahan di depan. Perjalanan terganggu lagi. Hampir 10 minit kemudian aku berjaya melintasi kenderaan-kenderaan itu.

Seketika, aku terdengar bunyi siren dari belakang. Dari cermin pandang belakang aku ternampak sebuah ambulans dipandu dengan laju dan ia semakin menghampiri keretaku. Aku memperlahankan kereta untuk memberikan laluan kepada ambulans yang dalam kecemasan itu.

Ek Eleh..! aku sedikit terkejut dan rasa pelik bila melihat kereta yang dipandu 'sekadar makan angin' tadi mengekori ambulans yang laju itu untuk memotong keretaku dan beberapa buah kenderaan lain. Tapi tak apalah.., mungkin dia sudah ubah fikiran dan mahu segera sampai ke destinasinya.

Tapi sangkaanku meleset belaka. Aku terhalang lagi dek pemandu yang 'sekadar makan angin' tadi di depanku. Dia kembali memandu dengan terhegeh-hegeh dengan muka selambanya. Di depannya tiada sebuah pun kenderaan lain. Disebabkan dia, kenderaan-kenderaan lain kembali tersusun-susun di belakangnya.

Aku sekadar menggelengkan kepala. Kalau sekadar mahu memandu terhegeh-hegeh dan menyusahkan orang lain, kenapakah dia kemaruk sangat mahu duduk di depan kenderaan-kenderaan lain yang telah bersekesempatan memotongnya tadi?

Pelik sungguh perangai/tabiat atau 'hobi' manusia yang sebegitu. Agaknya.., menusia jenis apakah dia itu..?

Keselesaan memandu kembali terasa setelah melepasi lampu isyarat untuk memasuki kawasan Gambang.

Dan mujurlah dalam perjalanan pulang aku tidak menemui perangai manusia yang serupa itu.

Alhamdulilah... kami pergi dengan selamat dan kembali pun dengan selamat..!

Sunday, October 11, 2009

MANUSIA VS OTAK

Manusia pada asasnya hanya menggunakan 40% daripada kemampuan otaknya. Menyebabkan kemampuan 60% lagi dipersiakan.

Manusia yang paling bijak di dunia seperti Albert Einstein pun hanya menggunakan otaknya sehingga ke paras 16%.

Jadi manusia lebih banyak mensia-siakan otaknya.

Kerana itulah agaknya kita semakin didedahkan dengan pelbagai ragam sikap dan tindakan manusia yang menterjemahkan seseorang itu seperti manusia yang tidak berotak.

Benarkah begitu? Fikir-fikirkanlah bersama.

Tuesday, October 6, 2009

MARAH VS GERAM VS DENDAM

Dia bukan marah
cuma geram.

Namun geram yang menikam
telah memakan tuan.

Marahnya kian berpanjangan
geramnya tak berkesudahan.

Maka timbul pula dendam
dendam dalam kemarahan
marah dalam kegeraman.

Saturday, September 19, 2009

SALAM AIDILFITRI

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
MAAF ZAHIR & BATIN
BERHATI-HATI
&
BERWASPADA SELALU..!

Saturday, August 29, 2009

KELEBIHAN BERPUASA

Sabda Nabi SAW yang bermaksud;
Sesungguhnya orang yang berpuasa ketika berbuka mempunyai doa yang tidak ditolak."
(Ibn Majah dan al-Hakim meriwayatkan daripada Ibn Umar)

"Bersamalah kita menggandakan ibadat pada bulan Ramadhan yang mulia ini..!"

Friday, August 7, 2009

KEISTIMEWAAN SYAABAN - 2

DIANGKAT AMALAN HAMBA-NYA

Di antara keistimewaan Syaaban yang masyhur ialah diangkat amalan hamba-Nya pada bulan ini.

Ia merupakan pengangkatan amalan yang terbesar.

Oleh kerana itu, ketika Usamah ibn Zaid r.a bertanya kepada Rasulullah SAW tentang sebab kesungguhan Baginda berpuasa pada bulan Syaaban, Baginda SAW menjawab; "Ia adalah bulan
yang sering dialpakan oleh manusia, di antara Rejab dan Ramadhan. Ia adalah bulan diangkat segala amalan kepada Tuhan semesta alam. Saya suka amalan saya diangkat ketika saya berpuasa." (riwayat al-Munziri).

Tuesday, August 4, 2009

KEISTIMEWAAN SYAABAN -1

ANTARA PERISTIWA PENTING:

Peristiwa pertukaran kiblat dari Baitul Maqdis ke Kaabah
yang sememangnya telah lama ditunggu-tunggu oleh Rasulullah SAW.

Sebelum berlaku peristiwa itu,
Baginda SAW bangun setiap malam
menghadapkan mukanya ke langit
menunggu-nunggu wahyu daripada Allah.
Sehinggalah Allah mengurniakannya
dan merealisasikan permintaannya
seperti yang dirakamkan dalam al-Quran:
"Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad),
berulang-ulang menadah ke langit,
maka kami benarkan engkau berpaling
mengadap Kiblat yang engkau sukai.
Oleh itu berpalinglah mukamu ke arah Masjidil al Haram;
(tempat letaknya Kaabah)
dan di mana saja kamu berada
maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya.
(al-Baqarah: 144).

Abu Hatim al-Busti berkata:
Orang-orang Islam solat mengadap ke Bait al Maqdis
selama 17 bulan 3 hari.
Rasulullah datang ke Madinah
pada hari Isnin 12 Rabiulawal
dan Allah memerintahkan mengadap ke Kaabah
pada hari Selasa 15 Syaaban.

Monday, July 27, 2009

TIGA IKATAN DI ATAS KEPALA

Bukan mudah untuk bangun di waktu malam, melakukan sembahyang ketika malam sunyi. Ketika sebahagian besar manusIa sedang lena diulit mimpi.

Dalam sebuah hadis dijelaskan bahawa syaitan akan mengikat 'tiga ikatan' di atas kepala salah seorang daripada kamu. Pada setiap ikatan ia berkata; tidurlah, kau mempunyai malam yang panjang.

Tetapi apabila seseorang itu terjaga, lalu mengingati Allah, maka terurai satu ikatan. Dan apabila dia berwujud, terurai satu ikatan lagi, lalu apabila dia bersembahyang, maka terurailah semua ikatan tadi. Lantas dia menghadapi pagi dalam keadaan cergas dan baik hati. Kalau tidak, jadilah dia buruk hati, iaitu malas!

Sunday, July 19, 2009

ISRAK MIKRAJ

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Maha suci Allah yang memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang sudah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah al-Israk: 1).

Sesungguhnya kuasa Allah yang mampu menggerakkan hamba-Nya melakukan perjalanan pada malam yang sangat dahsyat sehingga menjadi mukjizat di samping mukjizat abadi al-Quran al-Karim, kerasulan Muhammad SAW.

Saturday, July 18, 2009

DUNIA... OH, DUNIA..!

Firman Allah yang bermaksud:
"Ketahuilah bahawa kehidupan dunia itu tidak lain hanya permainan dan hiburan serta perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak." (Surah al-Hadid, ayat 20).

Sunday, July 12, 2009

ALAHAI.., GADIS REMAJAKU

Alahai gadis remajaku
sedikit ditegur bapa dan ibu
kerana tingkah dan kesilapanmu
lantas kau bertindak melulu
tanpa rasa segan dan silu
keluar mengekori jantanmu
kononnya akan membela nasibmu.

Kenapa tak pernah kau fikirkan
tentang keluargamu dalam kesedihan
saban waktu diterjah kebimbangan
memikirkan akan keselamatan
meratapi pemergian dan kehilangan.

Kenapa hanya berfikir terlalu singkat
bertindak ke arah yang tak selamat
atau menyimpan dendam kesumat
pada ibu bapa yang seharusnya dihormat
pada doa mereka yang melimpah seribu rahmat.

Seharusnya berfikir dulu sebelum bertindak
selesaikan masalah dengan sopan dan bijak
beringat-ingat sebelum langkah memijak
tersalah haluan kau dingap penyangak
sudahnya ke lembah kehinaan kau terjebak
walaupun akhirnya kesalan berlambak-lambak
disulami air mata darah bercupak-cupak
maruah tercemar sukar untuk kembali tegak
maka keaiban akan dijaja dan diarak
mampukan maruahmu mahu disemak
dan di manakah air muka keluarga akan diletak?

P/s:
Jagalah anak-anak kita;
ilmukan dadanya
teguhkan keimanannya
kentalkan mindanya
cekalkan jwanya.

Monday, July 6, 2009

UNTUK APA BERCAKAP..?

Kalau sejuta perkataan sehari pun bercakap
tapi langsung tak mendatangkan berkat
sebaliknya semuanya mendatangkan mudarat
lebih baik berdiam diri atau senyap.

Senyap itu ada kalanya lebih bermakna
tak menyinggungkan sesiapa
daripada bercakap banyak yang semuanya
boleh menyakitkan hati dan telinga..!

Andainya sepatah perkataan
tapi bernilai dan berharga
biarlah sepatah itu yang kedengaran
daripada banyak patah yang satu pun tak bermakna.

Monday, June 29, 2009

FADILAT SURAH AL-FATIHAH

+ Membaca sekali Fatihah pahalanya sama seperti membaca al-Quran.

+ Membaca 41 kali selama 40 hari di antara sembahyang sunat Subuh dan sembahyang fardhu Subuh kemudian memohon kepada Allah, insya-Allah dikabulkan.

+ Mengamal membaca 20 kali setiap selepas sembahyang fardhu lima waktu, Allah akan luaskan rezekinya, baiki akhlaknya, mudahkan urusannya, hilangkan kesusahannya, dianugerahkan apa yang diangan-angankannya, mendapat berkat dan kemuliaan.

+ Membaca 41 kali dapat mengubat sakit mata, sakit gigi, sakit perut dan pelbagai sakit lain.

+ Jika dibaca sebanyak tujuh kali pada air dan dicampur sedikit garam lalu diminumkan kepada orang yang terkena sengatan kala, insya-Allah akan sembuh.

+ Membaca dalam keadaan berwuduk 70 kali selama tujuh hari lalu ditiupkan pada air suci lalu diminum, akan memperoleh ilmu dan hikmah dan hatinya bersih daripada fikran rosak.

+ Membaca bersama Bismillah... di antara Subuh dan fardhu Subuh dengan istiqamah; kalau inginkan pangkat terkabullah, kalau fakir akan kaya, kalau berhutang dapat membayarnya, kalau sakit akan sembuh dan kalau punya anak akan menjadi anak solih.

+ Kalau Fatihah itu ditulis dengan huruf-huruf terpisah lalu dilebur dengan air suci dan diminum oleh si sakit, dengan iradah Allah akan sembuh.

+ Jika ditulis dengan huruf Arab pada tempat putih lagi suci dan dihapuskan dengan air dan diberi minum pada si pelupa, akan hilang sifat pelupanya.

Nota: Segala-galanya takkan akan berlaku tanpa izin Allah. Maka carilah keredhaan Allah dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan jauh segala larangan-Nya, serta berikhtiarlah dengan sesungguh hati. Insya-Allah.

Wednesday, June 24, 2009

FIKIR-FIKIRKAN...

Fikirkan tentang keperluan
usah diikut tentang kehendak
keperluan hanya yang berpatutan
sedangkan kehendak mungkin terlalu banyak.

Fikirkan tentang hati
usah diikut kehendak nafsu
ikutkan hati sudahnya mati
turutkan nafsu akhirnya lesu.

Fikirkan keperluan rasa
usah terlalu ikutkan perasaan
keperluan rasa usah sampai binasa
ikutkan perasaan tiada kesempurnaan.

Fikirlah mendahului akal
usah sesekali dahulukan tindakan
mendahului akal takkan menyesal
mendepankan tindakan mungkin sesalnya berpanjangan.

Fikirkan dahulu sebelum berbicara
berdiam diri mungkin lebih baik
andai tak perlu simpanlah suara
andai bersuara menyerlahkan diri yang tidak cerdik.

Bijak bukan kerana pandai bermadah
andai bermadah banyak sumbangnya
bijak itu kerana ilmu melimpah
bijak pula mempergunakannya.



Saturday, June 20, 2009

SELAMAT HARI BAPA

YANG PERTAMA

Menerjah ke gerbang nyata
membuka mata yang bersinar
menyongsong waktu berlari
mengenali alam di sini
yang bersulamkan permata kasih tergubah
ketika terucap syukur dalam megah.

Nyaringnya suaramu yang basah
terlontar menembusi tembok resah
di dada musim
yang terhimpun titik-titik embun
di persada jantung
meresapi tujuh lapisan alam
lalu mendinginkan setiap perjalanan
ketika menyusur arah kebenaran.

Kau yang pertama (Afiq)
wujud dari himpunan darah dua daerah
dari rahsia kasih berlimpah
dari himpunan doa tersusun
mulia dan teragung.

Buatmu yang pertama (Afiq)
sejambak cinta kasih tersedia
di mahligai usia seorang pendeta
dengan timbunan keredhaan Yang Maha Esa
harum sedunia.

MAZEMIE MAZ
HBS 13 Jun.

Nota: Sajak daripada seorang insan yang pertama kali bergelar bapa.

Friday, June 19, 2009

RAHSIA OTAK

Pada asasnya manusia hanya menggunakan 40% daripada kemampuan otak mereka. Manakala kemampuan 60% lagi dipersia-siakan. Tidakkah itu merupakan satu pembaziran dan kerugian kepada manusia itu sendiri?

Albert Einstein, manusia terbijak di dunia pun telah dikenalpasti menggunakan otaknya sehingga ke paras 16%. Ternyata manusiayang paling bijak pun tidak menggunakan sepenuhnya otak mereka.

Berasaskan kepada kajian mengenai penggunaan otak, bolehlah dibuat kesimpulan bahawa ramai manusia tidak menggunakan otak dalam bertindak, belajar dan melakukan apa saja perkara dalam kehidupan mereka.

Keseimbangan penggunaan otak dan perasaan malu boleh mengelakkan manusia melakukan perkara-perkara yang tidak diingini.

Namun jika penggunaan otak tidak dapat membendung keinginan nafsu, manakala perasaan malu pula tiada dalam diri, maka akan terjebaklah manusia itu dengan pelbagai perkara yang boleh merosakkan diri sendiri.

Tuesday, June 9, 2009

Info:

ZON LARANGAN MEROKOK

= Pusat hiburan atau teater

= Hospital atau klinik

= Lift atau tandas awam

= Tempat atau kedai berhawa dingin

= Kenderaan awam atau hentian pengangkutan awam

= Lapangan terbang

= Premis kerajaan

= Dewan orang ramai

= Institusi pendidikan

= Taman asuhan kanak-kanak

= Sekolah

= Kaki lima kompleks beli-belah, termasuk restoran dan kafe terbuka di luar premis

= Pusat beli-belah

= Bangunan perniagaan

= Premis jualan makanan

= Taman rekreasi

= Kaunter perkhidmatan bank dan institusi kewangan

= Kompleks sukan

= Stadium

= Stesen minyak.


ZON BARU DALAM CADANGAN

= Lobi hotel

= Bangunan pejabat berhawa dingin berpusat

Nota: Awas... jangan hendaknya anda menjadi mangsa saman!

Tuesday, June 2, 2009

AKAL ITU PEDOMAN

Berkawan perlu berwaspada. Bukan sekadar memilih seseorang yang memenuhi cita rasa.

Malah perlu juga pertimbangan akal dan jiwa. Pun seharusnya jua mendapat pandangan ibu bapa atau sesiapa sahaja yang dipercaya.

Berkawan bukan sekadar keperluan. Tapi mencari kawan yang boleh mendatangkan kebaikan.

Waktu berpeleseran juga perlu ada batasan. Jangan sampai melewati waktu yang bersesuaian.

Pilihlah jalan kehidupan yang berpedoman. Ajaran agama dijadikan pegangan.

Seruan Allah jangan sekali-kali diabaikan. Insya-Allah selamat kiri dan kanan. Sejahtera sama ada ke belakang atau ke depan.

Nasihat ibu bapa menjadi panduan. Insya-Allah tiada kesalan di hari kemudian.

Sebelum lakukan sesuatu biarlah berpandukan kewarasan akal fikiran. Usah diletakkan kemahuan nafsu di depan.

Jangan terlalu mengikutkan perasaan dalam melakukan sesuatu tindakan. Sebaliknya lakukanlah sesuatu tindakan itu tanpa mengguriskan banyak perasaan.

Pilihlah kehidupan yang berkat. Itulah kehidupan yang dilimpahi rahmat.
........................................................

P/s: Terima kasih Erda, Sheera, Mira, Farhan dan Amie kerana sudi utusklan e-mel dan beri pandangan mengenai novel 'KENANGAN SEMALAM'.

Terima kasih sekali lagi.

Thursday, May 28, 2009

HIDUP VS MATI

Semalam yang berlalu pergi
bersyukurkah kerana hari ini
nadi masih berdenyut lagi
atau mensiakan kesempatan menyempurnakan diri?

Hari ini yang dihadapi
sebelum esok yang pasti
terhimpunkah ketakwaan yang diredahi
atau terus kelekaan sehingga helaan nafas terhenti?

Esok yang belum pasti
sebelum lusa berganti
akan berdenyutkah lagi nadi ini
untuk mengumpul pahala yang diberkati?

Lusa yang berganti
sebelum hari-hari lain menanti
mampukah melontar dosa diri
sebelum bersedia dijemput menghadap Ilahi?

Hidup - Insya-Allah
mati - adalah pasti yang pasrah.

Friday, May 22, 2009

PUISI

KE MANA SELEPAS ITU

Tatkala awan hitam songsang berarak
bakal menghamburkan jelaga dan keladak
ke mana agaknya kita akan berginjak
sebelum kehitaman mengotori pundak?

Tatkala bayu melintang berhembus laju
tiada lagi kebiasaan menderu
sepoi-sepoi bahasa seperti dahulu
ke mana agaknya kita akan berlalu
sebelum halilintar ganas menuju
dan puting beliung menerjah bertalu?

Agaknya ke mana kita selepas itu
jika rumah sendiri telah terkunci dan terkatup
penghuni lain telah berkuasa di pintu
dan mereka tak diundang itu
tidak pernah kita kenal dan tahu.

Dan kita yang tiada apa-apa lagi
terpaksa berlalu dan pergi
sekadar memberontak dalam diri
lewat penyesalan silih berganti
dan kecewa menanti pasti.

Mazemie Maz
Seremban.

(Petikan Halaman SASTERA - BERITA HARIAN - SABTU 23 MEI 2009)

Thursday, May 21, 2009

MINUMAN RINGAN JEJAS KESIHATAN

Berhati-hati dengan minuman ringan. Ia memang tidak baik untuk kesihatan.

Terlalu banyak minum minuman ringan setiap hari boleh menyebabkan seseorang itu mengalami masalah otot, degupan jantung tidak normal, malah boleh menjadi lumpuh.

Minuman ringan - kalau diambil secara kerap boleh menyebabkan keadaan yang digelar hypokalaemia iaitu penurunan paras potasium dalam darah, yang membawa kepada lemah badan dan sembelit hingga lumpuh.

Wednesday, May 13, 2009

Sebilangan kita mengakui, bahawa dialah yang paling layak untuk menjadi pemimpin atau memikul segala amanah. Sementara sebilangan yang lain pula berkata merekalah sebenarnya yang paling layak.

Mereka yang terpilih sebagai pemimpin atau untuk memikul sesuatu tanggungjawab itu, tidak bermakna hanya mereka yang benar-benar layak dan terbaik. Dan mereka yang tidak terpilih pula tidak semestinya mereka itu tidak layak atau tidak berkemampuan.

Ada kalanya kuasa penentu dan suara pemilihan itu amat mengelirukan Malah ada kalanya juga, lagi mencelaru dan mengharukan.

Bagaimanapun, mereka yang diberikan kepercayaan dan tanggungjawab, anggaplah ia sebagai amanah yang perlu dilunaskan dengan baik dan sempurna, untuk kebaikan semua yang berkaitan dengannya.

Pesan Rasulullah SAW:

"Apabila amanah telah disia-siakan, maka tunggulah kehancuran. Sahabat bertanya: "Bagaimana mensia-siakannya? Rasulullah menjawab: "Apabila sesuatu jawatan diserahkan kepada orang-orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya." - Hadis riwayat Bukhari.

Maka, renung-renungkanlah...

Saturday, May 9, 2009

IBU... KAULAH PERMATA

Kaulah permata berharga
bertarung nyawa serta derita dan seksa
mengandung dan melahirkan anak-anak di dunia
dengan terpelihara adat dan susila.

Kau sentiasa berupaya
tiada pernah mengaku derita
di jiwamu berbunga ikhlas dan redha
tempat bermanja dan pengubat nestapa.

Kau tidak pernah meminta-minta
untuk dibalas pengorbanan dan jasa
kasihmu tercurah mewangi semesta
tak terbanding dengan apa jua segala.

Sekalung hormat tersemat
segunung kasih terikat erat
kaulah insan keramat
anugerah Allah yang terhebat.

Wednesday, April 29, 2009

PERANAN SUHAKAM DIPERLUKAN

Pembeli rumah yang menjadi mangsa penipuan syarikat perumahan atau projek perumahan yang terbengkalai, perlukan pembelaan yang sewajarnya.

Penderitaan mangsa seolah-olah terbiar dan tidak mendapat pembelaan daripada pihak-pihak berwajib.

Setelah masalah mereka disiarkan di media elektronik yang prihatin dengan nasib mereka, pun tiada juga jalan kesudahannya.

Adalah dicadangkan agar Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia(Suhakam), turut melibatkan diri dengan memainkan peranan yang berkesan dalam usaha membela nasib malang pembeli-pembeli rumah yang tertipu atau menjadi mangsa projek perumahan yang tidak siap mengikut masa yang telah ditetapkan itu.

Sesungguhnya mangsa sedemikian memerlukan pembelaan yang sewajarnya. Kalau Suhakam sanggup berusaha membela nasib banduan-banduan di penjara untuk mendapatkan hak mereka yang berpatutan, meskipun mereka telah didapati bersalah dan dipenjarakan, mungkin tidak menjadi keberatan bagi Suhakam untuk membela nasib pembeli-pembeli rumah yang sememangnya tidak pernah bersalah itu, tetapi menjadi mangsa pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Mangsa ternyata menanggung penderitaan yang amat akibat masalah yang tertimpa. Jadi pembelaan yang sewajarnya patut mereka terima di negara yang demokrasi ini.

Friday, April 17, 2009

KERUNTUHAN MORAL PELAJAR

Keruntuhan moral pelajar amat membimbangkan. Penglibatan pelajar dengan kes-kes jenayah juga amat merisaukan.

Bagaikan tidak ada jalan penyelesaian. Situasi buruk itu terus juga berlaku. Sama ada diketahui dengan pendedahan media atau yang tidak diketahui umum.

Penglibatan badan-badan atau agensi-agensi tertentu amat diperlukan untuk menyedarkan para pelajar supaya tidak terlibat dengan jenayah yang boleh merosakkan masa depan mereka.

Selain polis yang dikatakan kerap juga mendekati para pelajar, pejabat agama, Majlis Peguam, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan lain-lain yang bersesuaian, seharusnya meluangkan masa mereka mendekati para pelajar di sekolah-sekolah dengan memberikan ceramah yang berkaitan bidang masing-masing.

Wakil pejabat agama misalnya boleh menginsafkan para pelajar berdasarkan keagamaan, manakala majlis peguam pula menyedarkan pelajar yang terlibat dengan jenayah tentang hukuman yang sedia menanti di samping perbelajaan yang diperlukan untuk menyediakan khidmat peguam untuk membela mereka dalam kes-kes tertentu.

Semoga ia tidak mendatangkan masalah kepada agensi-agensi terbabit, yang seharusnya boleh menyumbangkan khidmat sosial mereka secara sukarela dan berterusan, bukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam.

Saturday, April 11, 2009

ANDAINYA KASIHMU...

Andainya kasihmu bagaikan sumur di gurun
biarlah airnya melimpah seribu tahun.

Andainya kasihmu bagaikan pohon merimbun
biarlah teduhnya terpupuk bayu beralun.

Monday, April 6, 2009

KEMBALI KE SEBELUM ITU

Semalam
ia mengintai lalu
dan singgah di mata nafsuku
aku menjadi keliru
aku menjadi buntu
aku tak menentu.

Hari ini
Dia menyapa seru
dan singgah di mata akalku
aku menjadi malu
aku menjadi terharu
kembali mengenali diriku
seperti sebelum itu.

Friday, April 3, 2009

KEJUTAN MINDA

Seharusnya minda kita
sesekali perlu dikejutkan ia
dengan kebenaran yang pasti
di sebalik kita terlalu
sering mencari dan menghitung melulu
kesalahan dan keburukan sesama kita
tanpa memikir akan kekurangan seadanya.

Dan tanyalah pada diri
apakah kesempurnaan yang telah terbukti
dan apa pula kebaikan yang kita miliki
yang mampu dibanggai
dihitung setiap mata dan hati
menjadi bekalan diri
sebelum terlontar sepi
di dunia asing yang hakiki.

Monday, March 30, 2009

BERISTIRAHAT

ANTARA CARA TERBAIK TENANGKAN MINDA

Pilih mana yang sesuai untuk anda;

1. Bersenam - Berjoging atau berlari.

2. Bersiar-siar - Menyedut udara segar di taman sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

3. Membaca - Sesuai membaca buku-buku berbentuk fiksyen atau hiburan.

4. Mendengar lagu - Biar telinga anda mendengar muzik-muzik kegemaran anda.

5. Menonton filem - Di pawagam atau di rumah bersendirian atau berkumpulan.

6. Menjamu mata - Tidak perlu membeli belah, sekadar menjamu mata menyaksikan barangan yang dipamerkan.

7. Mendekati Tuhan - Bersembahyang dan berwirid.

8. Haiwan peliharaan - Bermain dengan haiwan-haiwan peliharaan.

9. Memancing - Pilih tempat yang anda rasa sesuai.

10. Bercuti - Jika ada kesempatan atau wang lebih, pergilah bercuti ke destinasi pilihan.

11. Berkebun - Bercucuk tanam di persekitaran rumah.

12. Keluarga - Bergurau senda dengan keluarga.

13. Berkaraoke - Bersama rakan-rakan atau keluarga.

14. Tidur - Pastikan tidur anda mencukupi.

Friday, March 27, 2009

0025 : KENAPA MENANG DAN KALAH?

Yang menang tak menang semua
yang kalah tak kalah semua.

Yang menang tak semestinya hebat
yang kalah tak semestilah keparat.

Yang menang kerana terpilih
yang kalah tak seharusnya tersisih,.

Yang menang tanda kejayaan
yang kalah bukannya kegagalan.

Yang menang ada amanah dan tugasan
yang kalah perlu hulurkan sokongan.

Yang menang teruskan amanat
yang kalah usah berdendam kesumat.

Yang menang usah mendabik dada
yang kalah usah bercuriga.

Adat bertanding ada menang dan kalah
yang penting hasrat dan haluan tak berubah.

Sunday, March 22, 2009

SEBENARNYA...

Kita sentiasa mengharapkan sesuatu yang sempurna menjadi milik kita, walaupun kita sendiri sebenarnya kurang sempurna atau tidak sempurna, sama ada lahiriah atau bathiniah.

Kenapa?

Adakah itu membuktikan kita sebenarnya tidak sedar diri?

Atau kita sebenarnya tidak mengenali diri kita sendiri?

Atau itu juga membuktikan kita sebenarnya tidak sempurna dengan erti kata sebenar-benarnya?

Thursday, March 19, 2009

0023 : KENAPA KESESAKAN DAN JANTUNG?

Anda sering terperangkap dalam kesesakan jalan raya?

Maka bersedialah berdepan risiko tiga kali ganda lebih tinggi untuk mengalami serangan jantung.

Puncanya, disebabkan asap ekzos dan pencemaran lain yang anda sedut ketika kesesakan itu berlaku.

Wanita lebih berisiko berbanding lelaki - lima kali lebih berisiko berbanding biasa untuk mengalami serangan jantung jika terdedah kesesakan lalu lintas dalam masa panjang.

Walaupun pencemaran lalu lintas dikatakan memainkan peranan, namun penyelidik terbabit tidak menolak ketegangan akibat memandu atau tersangkut dalam kesesakan juga menjadi punca serangan jantung.

Selain wanita, lelaki tua dan dan pesakit yang mempunyai sejarah masalah jantung juga berisiko tinggi.

Demikian hasil penyelidikan saintis dari Institut Epuidemiologi di Jerman.

Nota: Di persekitaran hidup kita hari ini, tidak ada apa yang tidak menjadi punca penyakit. Kebanyakan apa yang kita makan, sentuh atau bau, boleh dikatakan bakal menyumbang ke arah kesihatan yang tidak baik, jika kita tersilap langkah.

Maka berhati-hatilah dengan kesihatan dan keselamatan diri..!

Sunday, March 15, 2009

0022 : KENAPA AGAMA JADI ALAT?

Petikan tulisan Dr.Mohd Asri Zainul Abidin - Mingguan Malaysia (15 Mac 2009), antara katanya;

"Sementara menjadikan Islam sebagai alat atau umpan adalah mempergunakan Islam sebagai bahan untuk sesuatu tujuan, pada hal tujuan tersebut hanya bersifat puak atau peribadi, bukan untuk kepentingan Islam yang hakiki.

"Inilah bahayanya menjadikan agama sebagai modal politik atau apa sahaja. Ia boleh berlarutan terutama di kalangan mereka yang jahil sehingga tidak dapat membezakan antara isu politik semata dan isu agama yang sebenar.

"Bahkan dalam sejarah, antara sebab kemunculan hadis-hadis palsu adalah politik. Maka muncullah hadis palsu yang menyokong Syiah, menyokong Muawiyah.... golongan yang menggunakan agama yang 'lahapkan habuan dan pangkat' ada di mana-mana.

"Hilanglah fungsi agama; daripada ia agama hidayah yang membimbing manusia bertukar menjadi alat yang membolehkan manusia pijak di atasnya untuk sampai ke matlamat mereka.

Berpolitik berdasarkan agama memang tanggungjawab kita. Namun kita wajar berhati-hati, jika terleka kita akan tergelincir menjadi mempolitikkan agama. Bezakanlah antara berpolitik berdasarkan Islam dengan mempolitikkan Islam.

Wednesday, March 11, 2009

0021 : KENAPA BEGITU JADINYA?

Seorang ulama yang aku kenali, dalam sinisnya dia berkata;
"Kita kini sedang berdepan dan menghadapi bermacam-macam bala sebenarnya. Puncanya, kerana sikap sebilangan di antara kita. Mereka yang diberikan tanggungjawab, tidak jujur. Mereka yang diberikan kepercayaan, tidak amanah. Mereka yang diangkat sebagai mulia, tidak bersih peribadi dan moral. Mereka yang diangkat sebagai terbaik, tidak cekap. Dan mereka yang diberikan kuasa, tamak dan mementingkan diri sendiri..,"

Kenapa begitu jadinya?

Perhati-perhati... dan renung-renungkanlah..!

Monday, March 2, 2009

0020 : BAHASA MELAYU YANG BERKISAH

Aku tertarik tulisan Ku Seman Ku Hussain dalam kolumnya, Getaran Seni (Utusan - 2 Mac 2009) di bawah tajuk Sebuah kisah bahasa Melayu.

Tulis Ku Seman; "Kenapa bahasa Melayu di sini (Malaysia) agak lemah? Susah bagi saya untuk bercakap bahasa Melayu sebab banyak orang cakap bahasa Melayu campur bahasa Inggeris."

Kata-kata itu adalah lontaran rungutan seorang teman Ku Seman, Profesor Koh dari Korea Selatan.

Pertanyaan itu membuatkan Ku Seman terperangkap. Seorang yang bukan rakyat negara ini begitu ambil berat tentang bahasa kebangsaan negara kita. Lagipun profesor itu belajar bahasa Melayu dan beliau menjangka akan lebih mudah berhubungan dalam bahasa Melayu dengan orang di negara ini. Tapi yang berlaku kepada beliau sebaliknya.

Maka kata Ku Seman lagi, dia dengan berat hati terpaksa memberitahu rakannya itu bahawa Malaysia mahu menjadi negara maju pada tahun 2020 dan bahasa Melayu tidak boleh menjadi pemangkin kemajuan yang diharapkan.

"Tetapi saya tegas juga, bahawa ini bukanlah kenyataan saya tetapi kenyataan demi kenyataan yang saya kutip daripada sekian banyak pemimpin. Kenyataan siapa kita nak dengar kalau bukan pemimpin?" tulis Ku Seman.

Di Korea Selatan, bahasa Korea digunakan dalam semua sektor; pendidikan, industri, teknologi malah perundangan. Korea Selatan juga mempergiatkan usaha menterjemah buku-buku asing dalam semua bidang dalam bahasa Korea dan hasilnya bahasa Korea boleh menjadi bahasa ilmu dalam semua bidang.

"Barangkali orang Korea agak kolot berbanding kita kerana tidak mengiktiraf bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu. Tetapi Koh dan generasi sebelum dan selepasnya telah membuktikan Korea Selatan memacu kejayaan dalam bidang teknologi. Malah mereka patriotik, lihatlah nama kereta keluaran Korea Selatan semuanya diangkat daripada istilah Korea." tulisnya lagi.

Tulis Ku Seman seterusnya, kepada Koh rakannya itu, dia memanjangkan kenyataan demi kenyataan pemimpin-pemimpin kita bahawa bahasa Melayu akan memundurkan negara ini.

"Siapa lagi saya hendak percaya dan yakin kalau bukan pemimpin kita sendiri? Moga-moga dengan memartabatkan bahasa Inggeris kita boleh jadi negara maju mengatasi Korea Selatan atau Jepun. Apa salahnya kita korbankan bahasa ibunda? Kalau salah tentulah sejak dulu lagi semua peringkat mempertahankan bahasa Melayu," tulis Ku Seman menutup coretannya.

Dalam akhbar yang sama, seorang pembaca menulis di ruangan Forum, antara; "Cubalah berfikiran terbuka dan teliti. Jepun dan Korea tidak menggunakan bahasa Inggeris kerana segala teknologi itu mereka yang cipta sendiri. Negara kita masih mengharapkan kemahiran, kepakaran dan maklumat-maklumat daripada orang lain yang ternyata mengutamakan bahasa Inggeris. Berapa banyakkah buku-buku mereka diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu?

Nota: Kita terus memartabatkan bahasa Inggeris kerana segala yang berkaitan teknologi semuanya dalam bahasa Inggeris. Itu alasan sebilangan daripada mereka. Namun jika tiada usaha dari sekarang untuk menterjemahkan semua itu ke bahasa Melayu, sampai bila kita akan berterusan bergantung kepada bahasa asing demi teknologi?

Dan apa akan jadi sekiranya, generasi-generasi akan datang semuanya telah terbiasa dengan teknologi dalam bahasa Inggeris?

Akan sanggupkah kita berundur ke belakang dengan mempelajari teknologi dalam bahasa Melayu semula, setelah negara kita maju, sedangkan bahasa Inggeris dalam bidang teknologi sudah menjadi keterbiasaan dan sebahagiaan dari kehidupan mereka?

Apa-apa pun, lakukahlah apa saja yang sesuai dan terbaik. Asalkan jangan bangsa Melayu menjadi mangsa keadaan, dan asalkan juga ia tidak hanya akan menguntungkan kaum-kaum tertentu sahaja.

Monday, February 23, 2009

0019 : KENAPA IMPIAN DAN REALITI?

Impian selalunya indah-indah.
Namun realitinya belum tentu seindah impian.
Begitulah realiti kehidupan.

Ramai yang cuba mengejar impian untuk dijadikan realiti yang diidamkan. Namun ramai juga yang berkecundangan di pertengahan jalan.

Maknanya realiti kehidupan tak semudah yang disangkakan. Tak seindah yang diharap-harapkan.

Jangan terlalu mudah mengorbankan diri sebagai cagaran dalam apa jua percaturan dalam mencari realiti kehidupan di luar kemampuan.

Berpijaklah di bumi nyata. Setinggi mana pun tangan digapai, belum tentu redup awan dapat dicapai.

Jangan sekadar mendengar guruh di langit, air di tempayan lalu dicurahkan. Berjanji memang mudah diucapkan. Menepatinya ada kalanya menjadi sukar andainya janji itu hanya berlindung kepentingan.

Di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung.
Di mana kita berginjak, di situlah percaturan nasib rugi atau untung.

Wednesday, January 28, 2009

0018 : KENAPA TAK SETIA?

Setia itu kejujuran
setia itu kemanisan
setia itu keimanan
setia itu kemanusiaan.

Setia yang tercalit pada mulut
sudahnya menjadi janji karut
setia yang pecah di perut
sudahnya menjadi kalut.

Bila setia tidak lagi jadi pegangan
setia akan jadi pertaruhan
setia jadi gadaian
setia sekadar andaian.

Setia bila ada kepentingan
setia bila ada habuan
setia bila diberi imbuhan
setia sekadar ungkapan.

Setia luntur bila kepentingan dinafikan
setia hancur bila habuan disisihkan
setia musnah bila imbuhan dimatikan
setia rosak bila tiada keimanan
setia adalah igauan murahan.

Setia sudah tidak hebat
setia sudah tidak kuat
setia sudah tidak selamat
andainya setia itu sebenarnya keparat!

Wednesday, January 21, 2009

0017 : KENAPA PERLU BERUBAH?

Meskipun pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu sudah selesai, namun 'pahat'nya masih berbunyi. Pelbagai pandangan dan pendapat yang diberikan oleh penulis dan peminat-peminat politik, terutama mengenai kekalahan BN. Ada yang mengatakan kekalahan tersebut disebabkan tersalah pilih calon, sikap penyokong dari Pemuda dan Puteri serta masalah dalaman UMNO sendiri.

Apa pun, rumusannya ternyata UNMO (BN) tidak diterima rakyat Kuala Terengganu. Walau apa saja alasannya, ternyata itulah keputusannya. Keputusan dan pilihan yang dikehendaki oleh rakyat Terengganu.

Memang adat pertandingan ada kalah atau menang. Itu perkara biasa. Tapi sekiranya UMNO (BN) mahu terus diterima rakyat dan dianggap parti yang terus releven, ia seharusnya berubah. Atau dengan bahasa jelasnya, UMNO (BN) perlukan pembersihan segera dan singkirkan calon-calon yang terlalu menonjol dengan kelesesaan sikap elit, ego, terlalu kemewahan dan tidak mesra rakyat.

Begitu juga pemimpin yang hanya muncul dengan muka manis setiap kali hampir pilihan raya, kemudian setelah menang hilang entah ke mana. Kalau bertemu rakyat sekali sekala pun masih dengan muka serius, dan menunggu rakyat yang hormat dengan mengangkat tangan manakala pemimpin berkenaan membalas hanya mengangkat setengah ketinggian saja, seolah-olah terpaksa. Namun bila tiba kembali pilihan raya, barulah tangan pemimpin berkenaan akan terangkat tinggi mengatasi kepala semula dengan senyum selebar lautan untuk meraih undi rakyat. Pemimpin sebeginilah yang menimbulkan kebencian di kalangan rakyat.

Rakyat hari ini tidak begitu hairan dengan janji pembangunan, bantuan surau atau masjid serta bantuan itu ini pada setiap kali wujudnya pilihan raya kecil. Perbuatan sebegitu sesungguhnya meloya dan memuakkan rakyat yang merasakan diri mereka seperti anak-anak yang mudah dipergula-gulakan.

Bagi rakyat semua itu dianggap tidak jujur. Sebaliknya kalau ada kejujuran pemimpin, bantuan sebegitu seharusnya diberikan berterusan, yang mereka anggap itu sememangnya tanggungjawab pemimpin.

Rakyat hari ini memerlukan pemimpin yang bukan setakat dikenali oleh rakyat, malah pemimpin yang mesra rakyat. Pemimpin yang menjenguk khabar rakyat tidak mengira waktu, sanggup bangkit tengah-tengah malam buta melihat masalah rakyat, sanggup makan semeja di gerai di tepi jalan dengan rakyat, malah sanggup bergurau senda dengan rakyat tak kira kedudukan. Itulah pemimpin idaman rakyat hari ini. Bukannya pemimpin yang hanya popular di kalangan parti dan dianggap baik atau sempurna di dalam parti. Tapi rakyat mahu pemimpin yang baik dan sempurna di mata mereka.

Rakyat juga memerlukan pemimpin yang bukan saja dilihat bersih dari rasuah atau kepentingan diri, malah pemimpin itu mestilah sebenar-benar bersih, termasuk ahli keluarga dan saudara maranya juga.

Banyak perkara yang UMNO (BN) perlu lakukan untuk meraih kembali keyakinan rakyat. Selagi rakyat masih menganggap sesiapa saja yang menjadi calon UMNO (BN) sebenarnya ada udang di sebalik batu, atau bahasa jelasnya semata-mata untuk mencari (meraih) kepentingan dan keuntungan diri, selagi itulah rakyat akan menolak, walaupun calon berkenaan berkelulusan setinggi langit, dengan jawatan menteri atau timbalan menteri dalam kabinet.

Sedarlah bahawa rakyat hari ini telah bangkit dengan kesedaran diri atau melalui pelbagai persepsi. Walaupun dengan sedikit persepsi tidak baik pun dilontarkan terhadap pemimpin dan calon-calon tertentu, rakyat akan mudah percaya dan menerimanya. Apatah lagi jika pemimpin atau calon itu datangnya dari parti yang pernah digembar-gemburkan dengan isu rasuah atau perbuatan tidak disenangi rakyat.

Jadi, parti seharusnya memainkan peranan yang besar dan berat untuk menangkis semua tuduhan dan membersihkan gejala berkenaan yang sekali gus akan membersihkan nama parti. Lantas setiap pemimpin atau calon seharusnya tidak sedikit pun tercalit dengan pelbagai persepsi atau tuduhan yang tidak baik, seandai mereka mahu diterima rakyat.

Monday, January 19, 2009

0016 KENAPA KALAH?

Kalah kerana lemah
kalah kerana sokong membawa rebah.

Kalah kerana maklumat tak sampai
kalah kerana tanggungjawab diabai.

Kalah kerana orang tak percaya
kalah kerana orang tak suka.

Kalah kerana kemampuan diri tak kuat
kalah kerana kemampuan lawan lebih hebat.

Kalah kerana berbeza ideologi
kalah kerana strategi dah basi.

Kalah kerana orang benci
kalah kerana diri tak disukai.

Kalah kerana masalah dalaman
kalah kerana gunting dalam lipatan.

Kalah kerana tak dapat kepercayaan
kalah kerana tak mampu raih rayuan.

Kalah kerana tagihan tak bersahut
kalah kerana musuh dalam selimut.

Kalah kerana tak terpilih
kalah kerana orang yang memilih tahu apa yang dipilih.

Kalah kerana ada yang marah
kalah kerana tak percayakan sejarah.

Kalah kerana tak mampu menangkis tohmahan
kalah kerana sokongan tiada kekuatan.

<:AtomicElement>Kalah kerana tak mampu mencapai kemenangan
<:AtomicElement>kalah kerana tiada yang memberi sokongan.
<:AtomicElement>
Kalah kerana silap strategi
kalah perlu lagi bermuhasabah diri.

Saturday, January 10, 2009

0015 : KENAPA KUASA?

Yang berkuasa terus berkuasa
tanpa hiraukan suara dunia.

Yang berkuasa terus mengganas
tanpa menunjukkan rasa belas.

Yang berkuasa sengaja mencipta helah
tanpa pedulikan segala masalah.

Yang berkuasa terus menggila
dengan mengenepikan harganya nyawa.

Yang berkuasa terus bermaharajalela
dengan kejam membunuh sesuka.

Yang berkuasa terus bertindak membuta
dengan angkuh mendabik dada.

Yang berkuasa semakin tunjukkan kuasa
biarpun ramai yang menjadi mangsa.

Yang berkuasa menindas yang lemah
tranpa sedikitpun rasa bersalah.

Yang berkuasa semakin menjadi-jadi
demi tersembunyi kepentingan diri.

Yang berkuasa pentingkan kuasa
yang malang menanggung sengsara.

Yang berkuasa mengundangkan bala
sungguh keji dan terhina.

Yang berkuasa membunuh yang malang
kuasa dunia tak mampu menghalang.

Yang berkuasa terus mencipta bencana
sampai bila nak amannya dunia?

Yang berkuasa mengundangkan celaka
Doakan durjana menimpa mereka!






Saturday, January 3, 2009

0014 : KENAPA ISLAM?

Malang ISLAM yang mulia
umatnya dicaci dicela
kesuciannya dikeji dinoda
keagungan Nabi diperlekeh dipersenda
dimanakah silapnya?

Kemuliaan Islam tak dihormati
kebaikan Islam disalaherti
kemurniaan Islam tak dimanfaati.

Adakah kerana umat Islam sendiri
yang tak tahu menghargai
agama suci anugerah Ilahi?

Islam dipandang buruk tak lagi indah
adakah kerana sesama Islam sering bertelagah
sukar bersatu dengan mudah
sesama sendiri sering bercanggah
islam yang mudah lagi dipermudah
kerana berkepentingan sanggup Islam disanggah?

Adakah kerana gilakan kuasa
islam sanggup dijaja?

Adakah kerana berkepentingan peribadi
islam menjadi galang ganti?

Adakah kerana kepentingan duniawi
islam sanggup dicagari?

Apakah kesudahannya nanti
jika Islam sendiri tak menginsafi
jika Islam sendiri tak sedar diri
akhirnya Islam juga yang rugi.

Maka fikir-fikirlah berkali-kali
dengan akal bijak bestari
dianugerahkan Ilahi.