Saturday, December 27, 2008

0013 : KENAPA DOA?

DOA AKHIR TAHUN

"Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah yang memelihara dan mentadbir sekelian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW dan keluarga Baginda dan sekelian sahabatnya. Ya, Allah, sesungguhnya pada tahun ini aku banyak melakukan larangan Engkau, tetapi aku belum bertaubat, sedangkan Engkau tidak redha dan melupai perkara itu. Engkau menangguhkan azab Engkau sudah ditetapkan kepadaku. Engkau memerintahkan aku supaya bertaubat daripada kesalahan itu. Sesungguhnya pada hari ini aku bertaubat dan memohon keampunan daripada Engkau, ampunilah aku. Apa aku lakukan pada tahun ini Engkau redhai dan Engkau janjikan pahala, maka aku memohon daripada Engkau, ya Allah, ya Karim, ya Zaljala liwal ikram, terimalah permohonan ini dan janganlah Engkau hampakan harapanku, wahai Tuhan Maha Mulia. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW dan keluarga Baginda dan sekelian sahabatnya. Segala puji bagi Allah memelihara dan mentadbir sekelian alam."
__________________________
DOA AWAL TAHUN
"Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah yang memelihara dan mentadbir sekelian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW dan keluarga Baginda dan sekelian para sahabatnya. Ya Allah, Engkaulah yang kekal abadi, demi kelebihan Engkau yang Maha Agung dan kemurahan Engkau yang melimpah, sesungguhnya pada tahun baru ini aku memohon kepada engkau perlindungan daripada syaitan, konconya, tenteranya dan penolongnya. Dan aku memohon perlindungan daripada nafsu amarah yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan dan melalaikan aku dengan perkara tidak berfaedah daripada mendekati diri kepada Engkau. Wahai Tuhan yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan. Wahai Tuhan yang lebih penyayang daripada segala yang penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW dan keluarga Baginda dan sekelian para sahabatnya. Segala puji bagi Allah yang memelihara dan mentadbir sekelian alam."

Monday, December 22, 2008

0012 : KENAPA PELAJAR TAJAAN?

Para pelajar atau yang bergelar kepakaran
mendapat biasiswa atau tajaan kerajaan
yang berada di seberang laut dan habis pengajian
tak kiralah apa saja bidang pengajian
kenalah pulang ke tanah air mencurahkan perkhidmatan
sebab tenaga dan kepakaran anda amat diperlukan.

Kalau belajar guna duit kerajaan dan tajaan
pulanglah berkhidmat dengan kerajaan
jangan berlagak seperti kekacang
lupakan kulit yang pernah bersalut di badan
lainlah kalau guna sendiri punya wang
tak kisahlah kalau nak berlagak sakan
tak ada sesiapa nak peduli atau hairan.

Tapi kalau dah pakai duit pinjam
kenalah ingat dan sendiri mahu faham
jangan buat mata sebelah terpejam
buat kena kutuk dan kena kecam
jangan ibarat tak ada apa-apa tapi nak melaram
sekali lagi diingatkan supaya belajarlah kena faham.

Kerajaan pun nak kena prihatin juga
jangan buat tak kisah dan sambil lewa
yang degil dan berlagak itu patut didakwa
jangan sampai dibiarkan cacing naik ke mata
sudahlah susu yang diberi dibalasnya tuba
perangai sebegini tak boleh dibiarkan berleluasa
biar dia sedar dia belajar tinggi guna duit siapa.

Kita hidup berlandaskan maruah dan nama
orang memberi kita juga yang merasa
kalau orang berbakti kepada kita
sepatutnya kita pula kena tahu membalas jasa
dan jangan pula kita buat-buat lupa
dan buat macam tak ada apa-apa pula.

Jangan sangat difikir soal gaji semata-mata
sudah belajar tinggi dengan adanya biasiswa
sepatutnya tahulah bersyukur pula
kena sedar apa kelebihan dan kekurangan kita
jangan mudah lupa diri dan siapa asal kita
dan janganlah ingat nak pakai pukul rata saja.

Kalau sebelumnya kita mengharapkan belas kasihan orang
sebab tak ada duit nak belajar jauh ke seberang
bila sudah berjaya jangan jadi seperti kacang
nanti kita pula akan dibenci dan dimarahi orang.

Saling sedar menyedar banyak faedahnya
sebab kita bukan saja mencari yang berguna
malah kita juga memerlukan sesuatu yang berharga
demi kebaikan dan kemuliaan kita bersama.

______________________________________________________

Nota:

Terima kasih Ieda, Ryana, Mawarni, Shaifa, Radh, Shirma, Myuni dan Marla kerana kiriman e-mel serta sudi memberi sokongan dan komen mengenai novel 'KENANGAN SEMALAM'.

Terima kasih sekali lagi kepada anda semua..!!

'SALAM MEMBACA BUAT SEMUA..!!'

______________________________________________________



Monday, December 15, 2008

0011 : KENAPA SILAP?

Sesuatu kesilapan
sama ada dalam percaturan, perhitungan atau tindakan
sekali gus dalam apa cara sekalipun perbuatan
pastinya padah yang kedapatan
dan selalunya tiada kesilapan yang menghasilkan keuntungan.

Kesilapan percaturan politik
mengundangkan kekalahan dan boleh jadi polemik.

Kesilapan perhitungan soal perkauman
boleh mendatangkan ketegangan.

Kesilapan tindakan soal pendidikan
sukar menghasilkan manusia berilmuan.


Pendek kata, tersilap dalam apa saja perbuatan dan tindakan,
selalunya bencana atau masalah menjadi tanggungan.

Akibatnya, bukan saja harta benda yang hilang,
malah mungkin nyawa juga turut melayang.

Cuma dalam setiap apa saja kesilapan,
padahnya sama ada lambat atau cepat pasti menjadi susulan.

Sesungguhnya, membuat keputusan atau tindakan
memerlukan akal atau tangan-tangan berkepakaran
kerana ia bukan sesuatu yang bersebarangan
tapi memerlukan kemahiran dan ketelitian.

Kalau direnung-renungkan
kita terlalu banyak berhadapan
dengan apa saja percaturan, keputusan dan tindakan
yang dibuat oleh pihak-pihak berkenaan
selalunya mendatangkan masalah di hari kemudian
sama ada sementara atau berpanjangan
yang menyebabkan orang awam mengeluh tak berkesudahan
atau menderita tanpa hujung perjalanan
geram dan keluh kesah dalam kemarahan
disebabkan lambat atau tiadanya jalan penyelesaian
tak semena-mena terkumpul akan dosa murahan.

Persoalannya;

Dimanakah nilai kemanusiaan?
Di mananakah nilai pengertian?
Di manakah nilai keprihatianan?
Di manakah nilai keamanahan?
Di manakah akal kewarasan?

Namun dalam kita mencari-cari kebenaran
kesilapan tetap jua berterusan
padahnya sering bertimpa-timpaan!
_____________________________________________________

Nota: Terima kasih buat Emma, Lina, Syah, Dorin, Shida, Liyana dan Mars kerana sudi melayangkan e-mel dengan menghulurkan sokongan serta menggarapkan titipan pandangan dan buah fikiran masing-masing mengenai novel 'KENANGAN SEMALAM'.

Terima kasih sekali lagi buat anda semua, kerana menjadikan novel 'KENANGAN SEMALAM' sebagai bahan tatapan mengisi ruang kelapangan.

'SALAM MEMBACA BUAT SEMUA!'

Wednesday, December 10, 2008

KENAPA RUNTUH?

Kita bukan tak serik
kita bukan tak sakit
cuma kita terlalu ralit.

Kita bukan tak hairan
kita bukan tak belajar dari pengalaman
cuma kita tak ada keinsafan
kita sentiasa dalam kejahilan.

Lalu kita jadi gila
lalu kita lupa dosa
lalu kita lupa siapa kita.

Sudahnya semua jadi berharga
nyawa pun taruhan harga.

Lalu semua jadi berniaga
nyawa pun taruhan niaga.

Lalu semua sanggup dijaja
nyawa pun berjaja
maruah turut terjaja.

Kita tak ada keinsafan
kuasa wang kelam fikiran
terseleweng jadi kebiasaan.

Kuasa wang jadi jahanam
nyawa sia-sia terkorban
akhirnya negara akan kehancuran..?

Friday, December 5, 2008

KENAPA MELAYU?

Kenapa dengan Melayu hari ni?
Nampaknya dah macam serba tak kena di sana sini.

Itu bagi yang sedar dan tersedar
bukan sekadar berhingar bingar.

Melayu pertahankan hak Melayu di katakan perkauman.
Bukan Melayu pertikaikan hak Melayu, lantang suara Melayu jarang kedengaran.

Melayu cadangkan sekolah satu aliran, didakwa perkauman.
Bukan Melayu yang lancang membantah, tidak pula dituduh sedemikian.

Kenapa dengan Melayu?
Tepuk kepala sebelum layu
sambil tanya akal satu persatu.

Ke mana Melayu selepas ini?
Adakah akan terus berpijak di bumi sendiri
yang penuh dengan duri-duri?

Siapakah yang taburkan duri-duri di bumi sendiri?
Adakah Melayu yang kononnya ada kepentingan diri
yang kemudiannya memakan diri?

Dan Melayu tanyalah hati
selagi jiwa belum betul-betul mati
dan sesudah jiwa itu termati
di manakah nanti ia akan bersemadi?

Monday, December 1, 2008

0008 : KENAPA KETUANAN MELAYU?

Ketuanan Melayu?

Apa benda tu..?

Mungkin ramai orang Melayu pun tak berapa nak faham. Apa lagi dengan kaum lain.

Maka sebab itulah timbulnya macam-macam kontroversi mengenainya.

Apa yang saya faham, hanya orang politik tertentu saja yang risau dan bimbang dengan ketuanan Melayu. Kononnya ketuanan Melayu sudah tidak sesuai dengan keadaan sekarang?

Orang Melayu yang di atas sana, sepatutnya kena jelaskan dengan sejelas-jelasnya apa itu ketuanan Melayu. Bukan setakat mereka faham .Tapi biar benar-benar faham lagi mengerti.

Ketuanan Melayu bukan untuk nak cantas kekayaan orang lain. Bukan tujuan nak bunuh bangsa lain. Pun bukan nak jadikan bangsa lain hamba kepada Melayu.

Tapi kenapa timbul salah faham? Sebabnya... maklumat tak jelas.

Disebabkan maklumat tak jelas juga kecoh mengenai keistimewaan Melayu yang kononnya dapat lebih dalam negara mereka sendiri.

Kita kecoh satu dunia Melayu perlu dapat 30 peratus itu dan 30 peratus ini.

Apa yang sebenarnya dapat? Betul-betul dapatkah..? Walaupun tak dapat, tapi bangsa lain mati-mati menyangkakan Melayu sudah memperoleh segalanya. Pada hal Melayu dari dulu sampai sekarang pi mai pi mai tang tu juga.

Apabila kita bercakap tentang Melayu mesti dapat sebanyak itu dan sebanyak ini (pada hal tak tentu dapat pun), tapi kita tak heboh pula sebanyak mana bangsa lain sudah dapat? Berapa ramai bangsa lain yang hidup lebih mewah dari Melayu? Kenapa tak diheboh-hebohkan dengan seheboh-hebohnya?

Di situlah silapnya Melayu. Boleh dikatakan tersilap dalam serba serbi. Kesilapan yang kadang akalanya boleh menguntungkan orang lain.

Tapi Melatyu tetap melayu. Yang tak ada perasaan dengki dan iri hati kepada bangsa lain. Tapi selalunya akan dengki mendengki sesama sendiri.


P/s: Coretan diatas adalah sekadar luahan pandangan dan bukannya perkauman dan bukannya melepaskan kemarahan. Maaf dipinta andai terkasar bahasa. Terima kasih.


Friday, November 28, 2008

0007 : KENAPA SAYANG & CINTA?

Ketika merawat pesakit-pesakit warga tua, para jururawat di Britain dinasihati tidak menggunakan perkataan 'sayang' atau 'cinta' ketika memanggil pesakit-pesakit tersebut. Kerana panggilan itu dianggap sebagai biadap?

Biadap? Ah, agak pelik bunyinya.

Maka satu garis panduan terbaru bagi jururawat dan petugas perbidanan, menyifatkan sebarang panggilan selain nama sebenar pesakit, tidak harus digunakan lagi.

Pihak berkuasa kesihatan sebaliknya mewajibkan jururawat itu bertutur dengan penuh hormat dan lembut kepada pesakit.

Sikap sebegitu memanglah sepatutnya diamalkan. Apatah lagi para jururawat yang berperanan 'menyembuhkan' pesakit. Tidak benarkah begitu?

Dan berbalik mengenai larangan itu lagi, sebagaimana yang dilaporkan akhbar Daily Telegraph, para jururawat juga dikehendaki memanggil pesakit dengan nama sebenar mereka dan bukannya gelaran seperti sayang atau cinta.

Bagaimanapun, bagi kes-kes tertentu, panggilan 'sayang' atau 'cinta' itu boleh digunakan jika ia menjadi sebahagian cara ditetapkan untuk melayan pesakit tertentu.

Oh, begitu pula? Lagi pelik. Ada masa boleh dan ada kalanya tak boleh?

Ah, undang-undang manusia... apa nak dihairankan kalau biasa berubah-ubah mengikut keadaan dan keperluan dan kepentingan dan kekerabatan. Agaknyalah.

Dan yang paling pelik lagi, kenapa dengan 'sayang' dan 'cinta' itu? Apa yang tidak kena dengan 'dua perkataan' itu sehingga dihukum sedemikaian?

Mungkin mereka saja yang tahu dan ada alasan tertentu.

Maka tertanya-tanya hati kecil hamba, adakah larangan sebegitu sudah terpakai juga di negara kita sejak dulu lagi? Sebabnya, hamba juga tidak pernah terdengar ada di antara mereka yang terlibat dengan pesakit memanggil pesakit mereka dengan panggilan 'sayang' , selain ahli keluarga mereka.

Ah, mungkin hamba tersilap sangka agaknya. Kerana hamba jarang sakit dan dimasukkan ke wad. Kalau hamba tersilap, harap maafkan hamba. Hamba hanya insan biasa.

P/s: Biar kita saling tegur menegur daripasa saling sungkur menyungkur..!

Thursday, November 27, 2008

0006 : KENAPA NENEK WOOK?

Seorang lelaki bernama Mohd Nor Musa, berusia 37 tahun, memilih Wook Kundur yang berusia 106 tahun sebagai pasangan hidupnya.

Selepas tiga tahun menjalani hidup bersuami isteri, Wook menyatakan dia mempunyai rahsia tersendiri untuk memastikan dunia perkahwinannya dengan Mohd Nor terus bertahan.

Antara rahsianya, kata Wook, dia mengamalkan beberapa perkara untuk membahagiakan suaminya yang lebih muda 69 tahun daripadanya itu. Antaranya nenek Wook sentiasa berfikiran positif, ceria dan mengurut tubuhnya sendiri.

Kata warga emas itu lagi, ketiga-tiga perkara itu membuatkan dirinya sentiasa muda dan mampu melayan suaminya dengan baik. Melayan makan minum dan pakai serta kemahuan suaminya seperti juga wanita-wanita lain.

Sudah tiga tahun mereka hidup bersama. Maknanya, sewaktu Mohd Nor berkahwin dengan nenek Wook, usianya ketika itu ialah 34 tahun dan isterinya pula 103 tahun.

Tentu ramai yang tertanya-tanya, kenapa nenek Wook yang sudah berusia sebegitu yang menjadi pilihan Mohd Nor. Adakah Mohd Nor sudah mengetahui akan kehebatan nenek Wook (walaupun sudah terlanjut usia) lantas dia begitu tertarik dan berminat untuk menjadikan wanita itu teman hidupnya?

Mungkin sebagaimana yang sudah tersurat, itulah jodoh mereka.

Mohd Nor merupakan suami yang ke 22 dan termuda bagi nenek Wook.

Sesungguhnya bagai dikata, adapun jodoh pertemuan itu Tuhan yang menentukan. Manusia sekadar mampu merancang dan berusaha.

Apa pun, semoga berbahagia dan berkekalan jodoh Mohd Nor dan nenek Wook. Insya-Allah.

Wednesday, November 26, 2008

0005 : KENAPA YOGA?

YOGA. Fatwa pengharamannya bagi umat Islam telah menimbulkan pro dan kontra. Badan-badan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam yang begitu lantang membantah.

Kata mereka, yoga yang juga dikenali sebagai senaman yang menggabungkan pergerakan fizikal dan pernafasan itu tiada kaitan dengan agama.

Begitu juga dengan umat Islam sendiri. Ramai juga yang agak terkilan dengan fatwa itu. Kata mereka, ia sekadar senaman biasa juga. Tapi ada sedikit kelebihan bagi pengamal-pengamalnya. Kerana ia mampu memulihkan penyakit-penyakit tertentu.

Aku juga ada terdengar ungkapan-ungkapan berbaur sinis sewaktu beberapa orang sedang bersarapan di sebuah warung di tempatku.

Mereka juga senada dengan pengamal-pengamal lain senaman itu, yang tidak begitu senang dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Apalah salahnya dengan yoga. Kebanyakan orang Islam yang mengamalkan senaman itu biasanya diajar oleh orang Islam juga. Tak ada doa, tak ada apa-apa mentera pun. Cuma pelakunya perlukan tumpuan dan perhatian ketika beryoga. Di mana salahnya?" ujar seorang antara mereka.

"Aku pun nampak macam tu juga. Malah tak ada pun yang sehingga terpesong akidah mereka disebabkan senaman itu..!" celah rakannya pula.

Aku sekadar memasang telinga sambil menjamah sarapan.

Pendek kata, mereka semakin keliru dan mencelarukan. Selagi banyak yang berkata begitu dan begini, maka semakin keliru dan mencelarukan lagi nantinya.

Mereka yang berada di dalam Majlis Fatwa itu adalah pakar-pakar dalam bidang Islam yang tahu akan tanggungjawab mereka. Mereka telah membuat fatwa. Kita sebagai umat Islam, sepatutnya mengikut sahaja.

Sebagai alternatif, bukankah ada banyak senaman lain yang boleh diamalkan. Atau pilih saja beberapa pergerakan dalam silat yang boleh diangkat sebagai senaman atau pergerakan fizikal serta pernafasan yang boleh diamalkan.

Apa perlunya untuk kita terus berkontroversi dengan sesuatu yang boleh menimbulkan keraguan, lebih-lebih lagi yang melibatkan akidah. Apatah lagi setelah ia diharamkan.

Renung-renungkanlah...

Tuesday, November 25, 2008

0004 : KENAPA NEGATIF?

Baru-baru ini sebuah syarikat pengendali lebuh raya bercadang mengurangkan bayaran tol 10 peratus kepada para pengguna yang melalui beberapa lebuh raya kendaliannya.

Tetapi ada yang pro dan kontra tentang cadangan itu, kerana syarikat itu hanya mengehadkan waktu tertentu sahaja, iaitu dari pukul 12 tengah malam hingga 7 pagi.

Rasional waktu yang ditetapkan oleh pihak pengendali lebuh raya ialah untuk mengelak kesesakan pada waktu puncak, seperti yang dialami kebanyakan lebuh raya ketika ini.

Bagi mereka yang tidak setuju, alasan mereka bahawa waktu itu tidak sesuai. Waktu seperti itu akan mendorong ke arah kemalangan di lebuh raya. Kononnya disebabkan ia adalah waktu tengah malam hingga ke awal pagi, boleh menjadi punca kemalangan kerana ramai para pengguna akan menggunakan lebuh raya. Mereka ditukarkan waktu pada siang hari, agar akan kuranglah kemalangan.

Itu satu bab. Satu bab lagi, iaitu sebelum ini, pemerintah sebuah negeri di Semenanjung bercadang memberikan air percuma pada kadar tertentu kepada seluruh rakyat negerinya, sebagai membalas jasa rakyat yang memilih parti mereka sebagai pemerintah negeri itu.

Cadangan itu pun ada bermacam-macam penerimaanya. Ada yang kata akan berlaku pembaziran. Pembaziran disebabkan air itu diberi percuma.

Persoalannya, kenapa ada antara kita yang bersikap negatif dengan situasi sebegitu? Kenapa kita tidak boleh menerimanya dengan hati terbuka?

Terfikir juga, adakah para pengguna di negara kita ini akan menerima setiap kemudahan itu secara negatif? Mentang-mentanglah lebuh raya itu kurang 10 peratus pada waktu tertentu itu, kita sebagai pengguna akan menggunakan sepenuh waktu itu tanpa mengira keselamatan diri?

Dan adakah kerana diberikan air percuma, para pengguna begitu daif pemikirannya, lalu menggunakan air itu dengan sewenang-wenangnya hingga berlakunaya pembaziran?

Begitukah sikap dan perangai kita?

Kalaupun ada yang bersikap sebegitu, seharusnya perlulah berubah.

Terimalah sesuatu yang baik untuk kita itu dengan pemikiran positif. Dan gunakalah juga ia dengan cara positif.

Friday, November 21, 2008

0003 : SAJAK (SASTERA - BERITA HARIAN - SABTU - 22 NOV 2008)

KADUK
i
'... dan kaduk pun tiba-tiba tersanjung
namanya tiba-tiba terjulang, dan lehernya terkalung.
Angan-angan pun terangkat, terjungkit melambung.
ii
Begitulah di luar duga, di pinggir sangkaan
suara kaduk pun berlaga-lagaan, bersahut-sahutan
bukan meminta hujan berlimpahan
tapi menunjuk-nunjuk kepandaian
melontarkan suara, berbidal-bidalan,
bersorak-sorakan kebanggaan
atas terkalungnya kejuaraan
maka kolam dan paya pun berselerakan.
iii
"... dan si buta hati pun menyesali
membencikan tindakan diri.
Sementara si pendek akal menepuk dada, mengetuk dahi
kesal di hujung marah, kebebalan sendiri.
Bebal meletakkan kaduk di kolam halaman
mengotorkan taman yang sekiannya berseri.
iv
Menyesal apanya bertali-tali
sedangkan kaduk berterusan menyanyi
meriahnya di musim ini,
biarpun sumbangnya suara membingitkan
dalam renyai hujan kedinginan
selagi waktu ditentukan
selagi ia dirasakan amat mendamaikan
dan peduli apa dengan penyesalan.
MAZEMIE MAZ
Taman Selasih, Sikamat, Seremban.
(SASTERA - BERITA HARIAN - 22 NOV 2008)

Wednesday, November 19, 2008

0002 : KENANGAN SEMALAM DIULANG CETAK

Khabar yang amat menggembirakan.

Aku telah diberitahu oleh En. Mohd Ali (Editor Buku Prima) bahawa novelku yang berjudul 'KENANGAN SEMALAM' yang diterbitkan oleh Buku Prima telah diulang cetak lagi.

Sungguh menggembirakan, kerana novelku yang setebal 480 muka surat itu mendapat sambutan yang agak menggalakkan daripada peminat-peminat novel.

Terima kasih atas sokongan anda semua.

0001 : ASSALAMUALAIKUM..!

SELAMAT BERTEMU...

KEPADA SESIAPA SAJA YANG MENGENALIKU...
KEPADA SESIAPA SAJA YANG MEMBACA NOVEL-NOVELKU...
KEPADA SESIAPA YANG MINAT MEMBACA PUISI-PUISIKU...
KEPADA SESIAPA JUA YANG MEMBERI SOKONGAN TERHADAP PENULISANKU...

TERIMA KASIH YANG TIADA TERHINGGA...