Wednesday, April 29, 2009

PERANAN SUHAKAM DIPERLUKAN

Pembeli rumah yang menjadi mangsa penipuan syarikat perumahan atau projek perumahan yang terbengkalai, perlukan pembelaan yang sewajarnya.

Penderitaan mangsa seolah-olah terbiar dan tidak mendapat pembelaan daripada pihak-pihak berwajib.

Setelah masalah mereka disiarkan di media elektronik yang prihatin dengan nasib mereka, pun tiada juga jalan kesudahannya.

Adalah dicadangkan agar Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia(Suhakam), turut melibatkan diri dengan memainkan peranan yang berkesan dalam usaha membela nasib malang pembeli-pembeli rumah yang tertipu atau menjadi mangsa projek perumahan yang tidak siap mengikut masa yang telah ditetapkan itu.

Sesungguhnya mangsa sedemikian memerlukan pembelaan yang sewajarnya. Kalau Suhakam sanggup berusaha membela nasib banduan-banduan di penjara untuk mendapatkan hak mereka yang berpatutan, meskipun mereka telah didapati bersalah dan dipenjarakan, mungkin tidak menjadi keberatan bagi Suhakam untuk membela nasib pembeli-pembeli rumah yang sememangnya tidak pernah bersalah itu, tetapi menjadi mangsa pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Mangsa ternyata menanggung penderitaan yang amat akibat masalah yang tertimpa. Jadi pembelaan yang sewajarnya patut mereka terima di negara yang demokrasi ini.

Friday, April 17, 2009

KERUNTUHAN MORAL PELAJAR

Keruntuhan moral pelajar amat membimbangkan. Penglibatan pelajar dengan kes-kes jenayah juga amat merisaukan.

Bagaikan tidak ada jalan penyelesaian. Situasi buruk itu terus juga berlaku. Sama ada diketahui dengan pendedahan media atau yang tidak diketahui umum.

Penglibatan badan-badan atau agensi-agensi tertentu amat diperlukan untuk menyedarkan para pelajar supaya tidak terlibat dengan jenayah yang boleh merosakkan masa depan mereka.

Selain polis yang dikatakan kerap juga mendekati para pelajar, pejabat agama, Majlis Peguam, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan lain-lain yang bersesuaian, seharusnya meluangkan masa mereka mendekati para pelajar di sekolah-sekolah dengan memberikan ceramah yang berkaitan bidang masing-masing.

Wakil pejabat agama misalnya boleh menginsafkan para pelajar berdasarkan keagamaan, manakala majlis peguam pula menyedarkan pelajar yang terlibat dengan jenayah tentang hukuman yang sedia menanti di samping perbelajaan yang diperlukan untuk menyediakan khidmat peguam untuk membela mereka dalam kes-kes tertentu.

Semoga ia tidak mendatangkan masalah kepada agensi-agensi terbabit, yang seharusnya boleh menyumbangkan khidmat sosial mereka secara sukarela dan berterusan, bukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam.

Saturday, April 11, 2009

ANDAINYA KASIHMU...

Andainya kasihmu bagaikan sumur di gurun
biarlah airnya melimpah seribu tahun.

Andainya kasihmu bagaikan pohon merimbun
biarlah teduhnya terpupuk bayu beralun.

Monday, April 6, 2009

KEMBALI KE SEBELUM ITU

Semalam
ia mengintai lalu
dan singgah di mata nafsuku
aku menjadi keliru
aku menjadi buntu
aku tak menentu.

Hari ini
Dia menyapa seru
dan singgah di mata akalku
aku menjadi malu
aku menjadi terharu
kembali mengenali diriku
seperti sebelum itu.

Friday, April 3, 2009

KEJUTAN MINDA

Seharusnya minda kita
sesekali perlu dikejutkan ia
dengan kebenaran yang pasti
di sebalik kita terlalu
sering mencari dan menghitung melulu
kesalahan dan keburukan sesama kita
tanpa memikir akan kekurangan seadanya.

Dan tanyalah pada diri
apakah kesempurnaan yang telah terbukti
dan apa pula kebaikan yang kita miliki
yang mampu dibanggai
dihitung setiap mata dan hati
menjadi bekalan diri
sebelum terlontar sepi
di dunia asing yang hakiki.