Monday, March 30, 2009

BERISTIRAHAT

ANTARA CARA TERBAIK TENANGKAN MINDA

Pilih mana yang sesuai untuk anda;

1. Bersenam - Berjoging atau berlari.

2. Bersiar-siar - Menyedut udara segar di taman sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

3. Membaca - Sesuai membaca buku-buku berbentuk fiksyen atau hiburan.

4. Mendengar lagu - Biar telinga anda mendengar muzik-muzik kegemaran anda.

5. Menonton filem - Di pawagam atau di rumah bersendirian atau berkumpulan.

6. Menjamu mata - Tidak perlu membeli belah, sekadar menjamu mata menyaksikan barangan yang dipamerkan.

7. Mendekati Tuhan - Bersembahyang dan berwirid.

8. Haiwan peliharaan - Bermain dengan haiwan-haiwan peliharaan.

9. Memancing - Pilih tempat yang anda rasa sesuai.

10. Bercuti - Jika ada kesempatan atau wang lebih, pergilah bercuti ke destinasi pilihan.

11. Berkebun - Bercucuk tanam di persekitaran rumah.

12. Keluarga - Bergurau senda dengan keluarga.

13. Berkaraoke - Bersama rakan-rakan atau keluarga.

14. Tidur - Pastikan tidur anda mencukupi.

Friday, March 27, 2009

0025 : KENAPA MENANG DAN KALAH?

Yang menang tak menang semua
yang kalah tak kalah semua.

Yang menang tak semestinya hebat
yang kalah tak semestilah keparat.

Yang menang kerana terpilih
yang kalah tak seharusnya tersisih,.

Yang menang tanda kejayaan
yang kalah bukannya kegagalan.

Yang menang ada amanah dan tugasan
yang kalah perlu hulurkan sokongan.

Yang menang teruskan amanat
yang kalah usah berdendam kesumat.

Yang menang usah mendabik dada
yang kalah usah bercuriga.

Adat bertanding ada menang dan kalah
yang penting hasrat dan haluan tak berubah.

Sunday, March 22, 2009

SEBENARNYA...

Kita sentiasa mengharapkan sesuatu yang sempurna menjadi milik kita, walaupun kita sendiri sebenarnya kurang sempurna atau tidak sempurna, sama ada lahiriah atau bathiniah.

Kenapa?

Adakah itu membuktikan kita sebenarnya tidak sedar diri?

Atau kita sebenarnya tidak mengenali diri kita sendiri?

Atau itu juga membuktikan kita sebenarnya tidak sempurna dengan erti kata sebenar-benarnya?

Thursday, March 19, 2009

0023 : KENAPA KESESAKAN DAN JANTUNG?

Anda sering terperangkap dalam kesesakan jalan raya?

Maka bersedialah berdepan risiko tiga kali ganda lebih tinggi untuk mengalami serangan jantung.

Puncanya, disebabkan asap ekzos dan pencemaran lain yang anda sedut ketika kesesakan itu berlaku.

Wanita lebih berisiko berbanding lelaki - lima kali lebih berisiko berbanding biasa untuk mengalami serangan jantung jika terdedah kesesakan lalu lintas dalam masa panjang.

Walaupun pencemaran lalu lintas dikatakan memainkan peranan, namun penyelidik terbabit tidak menolak ketegangan akibat memandu atau tersangkut dalam kesesakan juga menjadi punca serangan jantung.

Selain wanita, lelaki tua dan dan pesakit yang mempunyai sejarah masalah jantung juga berisiko tinggi.

Demikian hasil penyelidikan saintis dari Institut Epuidemiologi di Jerman.

Nota: Di persekitaran hidup kita hari ini, tidak ada apa yang tidak menjadi punca penyakit. Kebanyakan apa yang kita makan, sentuh atau bau, boleh dikatakan bakal menyumbang ke arah kesihatan yang tidak baik, jika kita tersilap langkah.

Maka berhati-hatilah dengan kesihatan dan keselamatan diri..!

Sunday, March 15, 2009

0022 : KENAPA AGAMA JADI ALAT?

Petikan tulisan Dr.Mohd Asri Zainul Abidin - Mingguan Malaysia (15 Mac 2009), antara katanya;

"Sementara menjadikan Islam sebagai alat atau umpan adalah mempergunakan Islam sebagai bahan untuk sesuatu tujuan, pada hal tujuan tersebut hanya bersifat puak atau peribadi, bukan untuk kepentingan Islam yang hakiki.

"Inilah bahayanya menjadikan agama sebagai modal politik atau apa sahaja. Ia boleh berlarutan terutama di kalangan mereka yang jahil sehingga tidak dapat membezakan antara isu politik semata dan isu agama yang sebenar.

"Bahkan dalam sejarah, antara sebab kemunculan hadis-hadis palsu adalah politik. Maka muncullah hadis palsu yang menyokong Syiah, menyokong Muawiyah.... golongan yang menggunakan agama yang 'lahapkan habuan dan pangkat' ada di mana-mana.

"Hilanglah fungsi agama; daripada ia agama hidayah yang membimbing manusia bertukar menjadi alat yang membolehkan manusia pijak di atasnya untuk sampai ke matlamat mereka.

Berpolitik berdasarkan agama memang tanggungjawab kita. Namun kita wajar berhati-hati, jika terleka kita akan tergelincir menjadi mempolitikkan agama. Bezakanlah antara berpolitik berdasarkan Islam dengan mempolitikkan Islam.

Wednesday, March 11, 2009

0021 : KENAPA BEGITU JADINYA?

Seorang ulama yang aku kenali, dalam sinisnya dia berkata;
"Kita kini sedang berdepan dan menghadapi bermacam-macam bala sebenarnya. Puncanya, kerana sikap sebilangan di antara kita. Mereka yang diberikan tanggungjawab, tidak jujur. Mereka yang diberikan kepercayaan, tidak amanah. Mereka yang diangkat sebagai mulia, tidak bersih peribadi dan moral. Mereka yang diangkat sebagai terbaik, tidak cekap. Dan mereka yang diberikan kuasa, tamak dan mementingkan diri sendiri..,"

Kenapa begitu jadinya?

Perhati-perhati... dan renung-renungkanlah..!

Monday, March 2, 2009

0020 : BAHASA MELAYU YANG BERKISAH

Aku tertarik tulisan Ku Seman Ku Hussain dalam kolumnya, Getaran Seni (Utusan - 2 Mac 2009) di bawah tajuk Sebuah kisah bahasa Melayu.

Tulis Ku Seman; "Kenapa bahasa Melayu di sini (Malaysia) agak lemah? Susah bagi saya untuk bercakap bahasa Melayu sebab banyak orang cakap bahasa Melayu campur bahasa Inggeris."

Kata-kata itu adalah lontaran rungutan seorang teman Ku Seman, Profesor Koh dari Korea Selatan.

Pertanyaan itu membuatkan Ku Seman terperangkap. Seorang yang bukan rakyat negara ini begitu ambil berat tentang bahasa kebangsaan negara kita. Lagipun profesor itu belajar bahasa Melayu dan beliau menjangka akan lebih mudah berhubungan dalam bahasa Melayu dengan orang di negara ini. Tapi yang berlaku kepada beliau sebaliknya.

Maka kata Ku Seman lagi, dia dengan berat hati terpaksa memberitahu rakannya itu bahawa Malaysia mahu menjadi negara maju pada tahun 2020 dan bahasa Melayu tidak boleh menjadi pemangkin kemajuan yang diharapkan.

"Tetapi saya tegas juga, bahawa ini bukanlah kenyataan saya tetapi kenyataan demi kenyataan yang saya kutip daripada sekian banyak pemimpin. Kenyataan siapa kita nak dengar kalau bukan pemimpin?" tulis Ku Seman.

Di Korea Selatan, bahasa Korea digunakan dalam semua sektor; pendidikan, industri, teknologi malah perundangan. Korea Selatan juga mempergiatkan usaha menterjemah buku-buku asing dalam semua bidang dalam bahasa Korea dan hasilnya bahasa Korea boleh menjadi bahasa ilmu dalam semua bidang.

"Barangkali orang Korea agak kolot berbanding kita kerana tidak mengiktiraf bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu. Tetapi Koh dan generasi sebelum dan selepasnya telah membuktikan Korea Selatan memacu kejayaan dalam bidang teknologi. Malah mereka patriotik, lihatlah nama kereta keluaran Korea Selatan semuanya diangkat daripada istilah Korea." tulisnya lagi.

Tulis Ku Seman seterusnya, kepada Koh rakannya itu, dia memanjangkan kenyataan demi kenyataan pemimpin-pemimpin kita bahawa bahasa Melayu akan memundurkan negara ini.

"Siapa lagi saya hendak percaya dan yakin kalau bukan pemimpin kita sendiri? Moga-moga dengan memartabatkan bahasa Inggeris kita boleh jadi negara maju mengatasi Korea Selatan atau Jepun. Apa salahnya kita korbankan bahasa ibunda? Kalau salah tentulah sejak dulu lagi semua peringkat mempertahankan bahasa Melayu," tulis Ku Seman menutup coretannya.

Dalam akhbar yang sama, seorang pembaca menulis di ruangan Forum, antara; "Cubalah berfikiran terbuka dan teliti. Jepun dan Korea tidak menggunakan bahasa Inggeris kerana segala teknologi itu mereka yang cipta sendiri. Negara kita masih mengharapkan kemahiran, kepakaran dan maklumat-maklumat daripada orang lain yang ternyata mengutamakan bahasa Inggeris. Berapa banyakkah buku-buku mereka diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu?

Nota: Kita terus memartabatkan bahasa Inggeris kerana segala yang berkaitan teknologi semuanya dalam bahasa Inggeris. Itu alasan sebilangan daripada mereka. Namun jika tiada usaha dari sekarang untuk menterjemahkan semua itu ke bahasa Melayu, sampai bila kita akan berterusan bergantung kepada bahasa asing demi teknologi?

Dan apa akan jadi sekiranya, generasi-generasi akan datang semuanya telah terbiasa dengan teknologi dalam bahasa Inggeris?

Akan sanggupkah kita berundur ke belakang dengan mempelajari teknologi dalam bahasa Melayu semula, setelah negara kita maju, sedangkan bahasa Inggeris dalam bidang teknologi sudah menjadi keterbiasaan dan sebahagiaan dari kehidupan mereka?

Apa-apa pun, lakukahlah apa saja yang sesuai dan terbaik. Asalkan jangan bangsa Melayu menjadi mangsa keadaan, dan asalkan juga ia tidak hanya akan menguntungkan kaum-kaum tertentu sahaja.