Monday, March 2, 2009

0020 : BAHASA MELAYU YANG BERKISAH

Aku tertarik tulisan Ku Seman Ku Hussain dalam kolumnya, Getaran Seni (Utusan - 2 Mac 2009) di bawah tajuk Sebuah kisah bahasa Melayu.

Tulis Ku Seman; "Kenapa bahasa Melayu di sini (Malaysia) agak lemah? Susah bagi saya untuk bercakap bahasa Melayu sebab banyak orang cakap bahasa Melayu campur bahasa Inggeris."

Kata-kata itu adalah lontaran rungutan seorang teman Ku Seman, Profesor Koh dari Korea Selatan.

Pertanyaan itu membuatkan Ku Seman terperangkap. Seorang yang bukan rakyat negara ini begitu ambil berat tentang bahasa kebangsaan negara kita. Lagipun profesor itu belajar bahasa Melayu dan beliau menjangka akan lebih mudah berhubungan dalam bahasa Melayu dengan orang di negara ini. Tapi yang berlaku kepada beliau sebaliknya.

Maka kata Ku Seman lagi, dia dengan berat hati terpaksa memberitahu rakannya itu bahawa Malaysia mahu menjadi negara maju pada tahun 2020 dan bahasa Melayu tidak boleh menjadi pemangkin kemajuan yang diharapkan.

"Tetapi saya tegas juga, bahawa ini bukanlah kenyataan saya tetapi kenyataan demi kenyataan yang saya kutip daripada sekian banyak pemimpin. Kenyataan siapa kita nak dengar kalau bukan pemimpin?" tulis Ku Seman.

Di Korea Selatan, bahasa Korea digunakan dalam semua sektor; pendidikan, industri, teknologi malah perundangan. Korea Selatan juga mempergiatkan usaha menterjemah buku-buku asing dalam semua bidang dalam bahasa Korea dan hasilnya bahasa Korea boleh menjadi bahasa ilmu dalam semua bidang.

"Barangkali orang Korea agak kolot berbanding kita kerana tidak mengiktiraf bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu. Tetapi Koh dan generasi sebelum dan selepasnya telah membuktikan Korea Selatan memacu kejayaan dalam bidang teknologi. Malah mereka patriotik, lihatlah nama kereta keluaran Korea Selatan semuanya diangkat daripada istilah Korea." tulisnya lagi.

Tulis Ku Seman seterusnya, kepada Koh rakannya itu, dia memanjangkan kenyataan demi kenyataan pemimpin-pemimpin kita bahawa bahasa Melayu akan memundurkan negara ini.

"Siapa lagi saya hendak percaya dan yakin kalau bukan pemimpin kita sendiri? Moga-moga dengan memartabatkan bahasa Inggeris kita boleh jadi negara maju mengatasi Korea Selatan atau Jepun. Apa salahnya kita korbankan bahasa ibunda? Kalau salah tentulah sejak dulu lagi semua peringkat mempertahankan bahasa Melayu," tulis Ku Seman menutup coretannya.

Dalam akhbar yang sama, seorang pembaca menulis di ruangan Forum, antara; "Cubalah berfikiran terbuka dan teliti. Jepun dan Korea tidak menggunakan bahasa Inggeris kerana segala teknologi itu mereka yang cipta sendiri. Negara kita masih mengharapkan kemahiran, kepakaran dan maklumat-maklumat daripada orang lain yang ternyata mengutamakan bahasa Inggeris. Berapa banyakkah buku-buku mereka diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu?

Nota: Kita terus memartabatkan bahasa Inggeris kerana segala yang berkaitan teknologi semuanya dalam bahasa Inggeris. Itu alasan sebilangan daripada mereka. Namun jika tiada usaha dari sekarang untuk menterjemahkan semua itu ke bahasa Melayu, sampai bila kita akan berterusan bergantung kepada bahasa asing demi teknologi?

Dan apa akan jadi sekiranya, generasi-generasi akan datang semuanya telah terbiasa dengan teknologi dalam bahasa Inggeris?

Akan sanggupkah kita berundur ke belakang dengan mempelajari teknologi dalam bahasa Melayu semula, setelah negara kita maju, sedangkan bahasa Inggeris dalam bidang teknologi sudah menjadi keterbiasaan dan sebahagiaan dari kehidupan mereka?

Apa-apa pun, lakukahlah apa saja yang sesuai dan terbaik. Asalkan jangan bangsa Melayu menjadi mangsa keadaan, dan asalkan juga ia tidak hanya akan menguntungkan kaum-kaum tertentu sahaja.

3 comments:

Sue Sham said...

seperti kebiasaan bila
sesuatu perkara dilakukan
dgn terburu-buru maka inilah
jadinya,bak pepatah:
ditelan mati emak
diluah mati bapa

semoga golongan bijakpandai
akan dapat mencari jalan penyelesaiannya

Amin

nahmy said...

mundur atau maju sesuatu bangsa & negara bukanlah berkisar pada bahasanya. bahasa adalah identiti. bahasa adalah warisan. bahasa adalah cara hidup. mundur atau maju terletak pada 'sikap'...itu aje. masalahnya ialah mereka yg berpolitik ni dah masuk zon yg bukan bidang mereka. biarkan mereka yg mahir pasal bahasa shjlah yg mengawal-seliakannya sebab ini adalah bidang mereka. mungkin yg 'berpolitik' akan turut rasa tak senang hati kalau 'bidang' mereka dikawal-seliakan oleh pakar bahasa pulak....

en_me said...

thanx for d info.. salamms dr me dikejauhannns