Seorang lelaki bernama Mohd Nor Musa, berusia 37 tahun, memilih Wook Kundur yang berusia 106 tahun sebagai pasangan hidupnya.
Selepas tiga tahun menjalani hidup bersuami isteri, Wook menyatakan dia mempunyai rahsia tersendiri untuk memastikan dunia perkahwinannya dengan Mohd Nor terus bertahan.
Antara rahsianya, kata Wook, dia mengamalkan beberapa perkara untuk membahagiakan suaminya yang lebih muda 69 tahun daripadanya itu. Antaranya nenek Wook sentiasa berfikiran positif, ceria dan mengurut tubuhnya sendiri.
Kata warga emas itu lagi, ketiga-tiga perkara itu membuatkan dirinya sentiasa muda dan mampu melayan suaminya dengan baik. Melayan makan minum dan pakai serta kemahuan suaminya seperti juga wanita-wanita lain.
Sudah tiga tahun mereka hidup bersama. Maknanya, sewaktu Mohd Nor berkahwin dengan nenek Wook, usianya ketika itu ialah 34 tahun dan isterinya pula 103 tahun.
Tentu ramai yang tertanya-tanya, kenapa nenek Wook yang sudah berusia sebegitu yang menjadi pilihan Mohd Nor. Adakah Mohd Nor sudah mengetahui akan kehebatan nenek Wook (walaupun sudah terlanjut usia) lantas dia begitu tertarik dan berminat untuk menjadikan wanita itu teman hidupnya?
Mungkin sebagaimana yang sudah tersurat, itulah jodoh mereka.
Mohd Nor merupakan suami yang ke 22 dan termuda bagi nenek Wook.
Sesungguhnya bagai dikata, adapun jodoh pertemuan itu Tuhan yang menentukan. Manusia sekadar mampu merancang dan berusaha.
Apa pun, semoga berbahagia dan berkekalan jodoh Mohd Nor dan nenek Wook. Insya-Allah.