Wednesday, April 29, 2009

PERANAN SUHAKAM DIPERLUKAN

Pembeli rumah yang menjadi mangsa penipuan syarikat perumahan atau projek perumahan yang terbengkalai, perlukan pembelaan yang sewajarnya.

Penderitaan mangsa seolah-olah terbiar dan tidak mendapat pembelaan daripada pihak-pihak berwajib.

Setelah masalah mereka disiarkan di media elektronik yang prihatin dengan nasib mereka, pun tiada juga jalan kesudahannya.

Adalah dicadangkan agar Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia(Suhakam), turut melibatkan diri dengan memainkan peranan yang berkesan dalam usaha membela nasib malang pembeli-pembeli rumah yang tertipu atau menjadi mangsa projek perumahan yang tidak siap mengikut masa yang telah ditetapkan itu.

Sesungguhnya mangsa sedemikian memerlukan pembelaan yang sewajarnya. Kalau Suhakam sanggup berusaha membela nasib banduan-banduan di penjara untuk mendapatkan hak mereka yang berpatutan, meskipun mereka telah didapati bersalah dan dipenjarakan, mungkin tidak menjadi keberatan bagi Suhakam untuk membela nasib pembeli-pembeli rumah yang sememangnya tidak pernah bersalah itu, tetapi menjadi mangsa pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Mangsa ternyata menanggung penderitaan yang amat akibat masalah yang tertimpa. Jadi pembelaan yang sewajarnya patut mereka terima di negara yang demokrasi ini.

No comments: