Wednesday, January 21, 2009

0017 : KENAPA PERLU BERUBAH?

Meskipun pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu sudah selesai, namun 'pahat'nya masih berbunyi. Pelbagai pandangan dan pendapat yang diberikan oleh penulis dan peminat-peminat politik, terutama mengenai kekalahan BN. Ada yang mengatakan kekalahan tersebut disebabkan tersalah pilih calon, sikap penyokong dari Pemuda dan Puteri serta masalah dalaman UMNO sendiri.

Apa pun, rumusannya ternyata UNMO (BN) tidak diterima rakyat Kuala Terengganu. Walau apa saja alasannya, ternyata itulah keputusannya. Keputusan dan pilihan yang dikehendaki oleh rakyat Terengganu.

Memang adat pertandingan ada kalah atau menang. Itu perkara biasa. Tapi sekiranya UMNO (BN) mahu terus diterima rakyat dan dianggap parti yang terus releven, ia seharusnya berubah. Atau dengan bahasa jelasnya, UMNO (BN) perlukan pembersihan segera dan singkirkan calon-calon yang terlalu menonjol dengan kelesesaan sikap elit, ego, terlalu kemewahan dan tidak mesra rakyat.

Begitu juga pemimpin yang hanya muncul dengan muka manis setiap kali hampir pilihan raya, kemudian setelah menang hilang entah ke mana. Kalau bertemu rakyat sekali sekala pun masih dengan muka serius, dan menunggu rakyat yang hormat dengan mengangkat tangan manakala pemimpin berkenaan membalas hanya mengangkat setengah ketinggian saja, seolah-olah terpaksa. Namun bila tiba kembali pilihan raya, barulah tangan pemimpin berkenaan akan terangkat tinggi mengatasi kepala semula dengan senyum selebar lautan untuk meraih undi rakyat. Pemimpin sebeginilah yang menimbulkan kebencian di kalangan rakyat.

Rakyat hari ini tidak begitu hairan dengan janji pembangunan, bantuan surau atau masjid serta bantuan itu ini pada setiap kali wujudnya pilihan raya kecil. Perbuatan sebegitu sesungguhnya meloya dan memuakkan rakyat yang merasakan diri mereka seperti anak-anak yang mudah dipergula-gulakan.

Bagi rakyat semua itu dianggap tidak jujur. Sebaliknya kalau ada kejujuran pemimpin, bantuan sebegitu seharusnya diberikan berterusan, yang mereka anggap itu sememangnya tanggungjawab pemimpin.

Rakyat hari ini memerlukan pemimpin yang bukan setakat dikenali oleh rakyat, malah pemimpin yang mesra rakyat. Pemimpin yang menjenguk khabar rakyat tidak mengira waktu, sanggup bangkit tengah-tengah malam buta melihat masalah rakyat, sanggup makan semeja di gerai di tepi jalan dengan rakyat, malah sanggup bergurau senda dengan rakyat tak kira kedudukan. Itulah pemimpin idaman rakyat hari ini. Bukannya pemimpin yang hanya popular di kalangan parti dan dianggap baik atau sempurna di dalam parti. Tapi rakyat mahu pemimpin yang baik dan sempurna di mata mereka.

Rakyat juga memerlukan pemimpin yang bukan saja dilihat bersih dari rasuah atau kepentingan diri, malah pemimpin itu mestilah sebenar-benar bersih, termasuk ahli keluarga dan saudara maranya juga.

Banyak perkara yang UMNO (BN) perlu lakukan untuk meraih kembali keyakinan rakyat. Selagi rakyat masih menganggap sesiapa saja yang menjadi calon UMNO (BN) sebenarnya ada udang di sebalik batu, atau bahasa jelasnya semata-mata untuk mencari (meraih) kepentingan dan keuntungan diri, selagi itulah rakyat akan menolak, walaupun calon berkenaan berkelulusan setinggi langit, dengan jawatan menteri atau timbalan menteri dalam kabinet.

Sedarlah bahawa rakyat hari ini telah bangkit dengan kesedaran diri atau melalui pelbagai persepsi. Walaupun dengan sedikit persepsi tidak baik pun dilontarkan terhadap pemimpin dan calon-calon tertentu, rakyat akan mudah percaya dan menerimanya. Apatah lagi jika pemimpin atau calon itu datangnya dari parti yang pernah digembar-gemburkan dengan isu rasuah atau perbuatan tidak disenangi rakyat.

Jadi, parti seharusnya memainkan peranan yang besar dan berat untuk menangkis semua tuduhan dan membersihkan gejala berkenaan yang sekali gus akan membersihkan nama parti. Lantas setiap pemimpin atau calon seharusnya tidak sedikit pun tercalit dengan pelbagai persepsi atau tuduhan yang tidak baik, seandai mereka mahu diterima rakyat.

1 comment:

Sufi Idany said...

berubahlah kerana sejagat dambakan perubahan.... jadi.... berubahlah kerana yang baik pasti akan muncul....

terima kasih kerana jejak laman blog saya....