Thursday, March 17, 2011
BUKU MAMPU MENGUBAH DUNIA
Buku tetap terpengaruh serta mampu menandingi keupayaan teknologi digital masa kini dalam mendidik, menghibur serta memberi rangsangan kepada pemikiran rakyat.
Peranan buku tidak akan ada galang gantinya walaupun sesetengah orang mendakwa televisyen dan radio lebih berpengaruh serta mempunyai khlayak yang lebih luas.
Kerana buku bukan sekadar instrumen yang hanya merekodkan memori dan imaginasi, malah mampu mengubah dunia, memperbaiki kehidupan serta menjadi laluan kepada masyarakat berilmu.
Saturday, March 12, 2011
DISKAUN SAMAN
Ramai yg serbu kaunter nak bayar saman yg tertunggak. Berebut2 sebelum tarikh akhir. Itulah bahananya bayar saman di perhujungan.
Apa kata, lain kali kalau nak bagi diskaun saman, biarlah hanya kesalahan tertentu saja. Kalau kesalahan melanggar lampu merah atau memotong di garisan berkembar, rasanya tak patut diberikan diskaun.
Itu sekadar cadangan saja.
Thursday, March 10, 2011
KAU YANG BERNAMA WANITA
Kau yang bernama wanita
kaulah emak, umi dan mama
kau adalah kilauan permata
bergemerlapan di persada maya.
Kau kemurnian seorang kekasih
seharum merbak penawar terpilih
seumpama cahaya purnama nan bersih
membimbing langkah yang bertatih.
Kau yang bernama wanita
kau adalah isteri yang tercinta
luhur dengan jasad kesetiaan
senyum biarpun dalam kepayahan
syukur mendakap kebenaran.
Kau jua ibu dengan kemuliaan
sabar dengan kerenah-kerenah kesayangan
tanganmu yang menghayun buaian
kental semangat dan kudrat kehebatan
dunia mampu kau goncangkan
namun kasih sayang kau genggamkan.
Kau yang bernafas dengan kewanitaan
tetap terjulang dengan kemuliaan
bersedia dengan segala pengorbanan
di telapak kakimu terhitung syurga idaman.
Sunday, April 11, 2010
HARGAILAH YANG SEDIKIT ANDAINYA...

Antara yang sedikit dan yang banyak. Kewarasannya, yang banyak pasti menjadi pilihan. Sedangkan yang sedikit, kalaupun menjadi pilihan, seandainya tiada yang banyak itu.
Bukan soal kerakusan atau tamak. Tapi kebiasaan naluri kemanusiaan.
Namun antara yang sedikit dan banyak, adakalanya kita terpaksa membuat pilihan dan penghargaan yang bertentangan.
Seumpamanya, seharusnya kita akan lebih menghargai yang sedikit, andainya yang sedikit itu berkualiti dan menyenangkan. Dan kita sepatutnya akan menghindari yang banyak, andainya yang banyak itu memudarat dan menyusahkan.
Di sebalik mata anugerah, pandanglah dengan lumrah. Dan di sebalik mata akal, bijaklah menilai.
Tuesday, March 16, 2010
DEMI CINTA SEJATI

Bagai dikata; Ikutkan nafsu, lesu. Ikutkan hati, mati.
Nafsu memang buas. Jika tak terkawal pasti akan terbabas. Hati pula membara, jika tak dijaga ia akan membakar dan menggila.
Nafsu dan hati; kedua-duanya milik manusia. Yang jika tidak diurus dengan sempurna, bukan saja boleh merosakkan keimanan, malah boleh membinasakan diri serta meruntuhkan nama dan darjat.
Memang sukar melawan hawa nafsu demi ke jalan Allah.
Namun bagi mereka yang beriman, dalam usaha untuk membuktikan keimanan dan kecintaan terhadap agama Allah dan Rasul-Nya, wajiblah mereka menundukkan kemahuannya dan memimpin peribadinya selari dengan petunjuk dan perintah Allah.
Sesungguhnya, itulah yang dikatakan cinta sejati yang bertalian dengan keimanan hakiki. Yang mesti diutama dan didahulukan daripada kecintaan kepada yang lain.
Friday, March 5, 2010
FITRAH KEJADIAN - SIAPALAH KITA..?

Seluruh alam, sekelian makhluk - adalah terjadi dengan kebesaran dan kehendak Allah. Seharusnya tidak ada dari kejadian alam dan perjalanan makhluknya yang tersimpang dari peraturan yang ditetapkan Allah.
Lihatlah matahari dan bulan yang beredar mengikut garisan perjalanan yang terlebih dahulu diaturkan Allah. Dan perhatikan pula tumbuh-tumbuhan, tumbuhnya sebatang pokok dengan menghasilkan buah yang manis atau masam adalah dengan ketentuan yang telah ditetapkan.
Kerana tanpa menurut garisan dan ketentuan-Nya, maka berlakulah kerosakan alam dan apa saja kebinasaan yang berkaitan dengannya.
Jika makhluk yang tiada berakal (matahari, bulan, tumbuh-tumbuhan) mampu mentaati peraturan dan kehendak Allah, maka apa lagi alasan bagi manusia yang diberikan akal yang sempurna? Sedangkan kepatuhan itulah sifat yang sebaik-baiknya, sesuai dengan fitrah atau kejadiannya dan itulah yang dikatakan hakikat dari falsafah pengertian Islam.
Firman Allah yang bermaksud: "Dan siapalah yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah dan dia perbuat kebaikan." (Surah al-Nisa': 125)
Wednesday, February 24, 2010
SESAT
Jalur-jalur putih yang mengembang
makin nipis dan menghilang
sekilas sekelip mata memandang
terlepas tangan yang menjulang.
Jalur-jalur hitam yang mendatang
kian nyata dan jelas terpampang
menujah dari depan dan belakang
lalu menular ke segenap ruang.
Terhela nafas-nafas lapar
mencengkam dan mencakar
sinar mata makin memudar
kalut dalam kelam jiwa terbakar.
Meraung suara-suara tegas
memuntahkan hujah-hujah tergalas
sesekali merintih dalam ganas
minta dilepas dan dibebas.
Perjalanan pun makin getir
tiada sinar di sebalik tubir
hujan mencurah tiada air mengalir
kebenaran satu demi satu tercicir.
MAZEMIE MAZ
(Sajak yang telah disIarkan dalam ruangan 'Sastera Kreatif'' BERITA HARIAN - Sabtu 20 Feb 2010).
makin nipis dan menghilang
sekilas sekelip mata memandang
terlepas tangan yang menjulang.
Jalur-jalur hitam yang mendatang
kian nyata dan jelas terpampang
menujah dari depan dan belakang
lalu menular ke segenap ruang.
Terhela nafas-nafas lapar
mencengkam dan mencakar
sinar mata makin memudar
kalut dalam kelam jiwa terbakar.
Meraung suara-suara tegas
memuntahkan hujah-hujah tergalas
sesekali merintih dalam ganas
minta dilepas dan dibebas.
Perjalanan pun makin getir
tiada sinar di sebalik tubir
hujan mencurah tiada air mengalir
kebenaran satu demi satu tercicir.
MAZEMIE MAZ
(Sajak yang telah disIarkan dalam ruangan 'Sastera Kreatif'' BERITA HARIAN - Sabtu 20 Feb 2010).
Subscribe to:
Posts (Atom)