Showing posts with label YOGA. Show all posts
Showing posts with label YOGA. Show all posts

Wednesday, November 26, 2008

0005 : KENAPA YOGA?

YOGA. Fatwa pengharamannya bagi umat Islam telah menimbulkan pro dan kontra. Badan-badan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam yang begitu lantang membantah.

Kata mereka, yoga yang juga dikenali sebagai senaman yang menggabungkan pergerakan fizikal dan pernafasan itu tiada kaitan dengan agama.

Begitu juga dengan umat Islam sendiri. Ramai juga yang agak terkilan dengan fatwa itu. Kata mereka, ia sekadar senaman biasa juga. Tapi ada sedikit kelebihan bagi pengamal-pengamalnya. Kerana ia mampu memulihkan penyakit-penyakit tertentu.

Aku juga ada terdengar ungkapan-ungkapan berbaur sinis sewaktu beberapa orang sedang bersarapan di sebuah warung di tempatku.

Mereka juga senada dengan pengamal-pengamal lain senaman itu, yang tidak begitu senang dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Apalah salahnya dengan yoga. Kebanyakan orang Islam yang mengamalkan senaman itu biasanya diajar oleh orang Islam juga. Tak ada doa, tak ada apa-apa mentera pun. Cuma pelakunya perlukan tumpuan dan perhatian ketika beryoga. Di mana salahnya?" ujar seorang antara mereka.

"Aku pun nampak macam tu juga. Malah tak ada pun yang sehingga terpesong akidah mereka disebabkan senaman itu..!" celah rakannya pula.

Aku sekadar memasang telinga sambil menjamah sarapan.

Pendek kata, mereka semakin keliru dan mencelarukan. Selagi banyak yang berkata begitu dan begini, maka semakin keliru dan mencelarukan lagi nantinya.

Mereka yang berada di dalam Majlis Fatwa itu adalah pakar-pakar dalam bidang Islam yang tahu akan tanggungjawab mereka. Mereka telah membuat fatwa. Kita sebagai umat Islam, sepatutnya mengikut sahaja.

Sebagai alternatif, bukankah ada banyak senaman lain yang boleh diamalkan. Atau pilih saja beberapa pergerakan dalam silat yang boleh diangkat sebagai senaman atau pergerakan fizikal serta pernafasan yang boleh diamalkan.

Apa perlunya untuk kita terus berkontroversi dengan sesuatu yang boleh menimbulkan keraguan, lebih-lebih lagi yang melibatkan akidah. Apatah lagi setelah ia diharamkan.

Renung-renungkanlah...