Wednesday, November 25, 2009

MANUSIA JENIS APAKAH ITU..?

Hari tu aku bertolak ke Kuantan melalui Muadzam Shah. Dalam perjalanan yang melepasi beberapa kilometer dari Muadzam Shah, perjalanan agak terganggu sedikit. Bukan kesesakan lalu-lintas, cuma ada pemandu yang tidak prihatin, yang memandu terlalu perlahan. Sekadar makan angin agaknya. Tanpa memikirkan pemandu lain di belakangnya. Hampir 20 minit juga aku terpaksa mengekorinya dengan perasaan yang sedikit geram. Mungkin juga perasaan itu turut dikongsi pemandu-pemandu lain yang bersusun-susun di belakangku.

Tetapi kenderaan yang datang dari arah Kuantan agak banyak. Menjadi penghalang untuk aku dan lain-lain pemandu memotong kenderaan yang 'sekadar makan angin' itu.

Setelah mengeluh berkali-kali. (Walaupun sudah banyak kali beristighfar), bila ada kesempatan, akupun terus memotong kenderaan yang 'sekadar makan angin' itu. Dan setelah jauh meninggalkannya, aku terhalang lagi dengan beberapa buah kenderaan yang bergerak perlahan di depan. Perjalanan terganggu lagi. Hampir 10 minit kemudian aku berjaya melintasi kenderaan-kenderaan itu.

Seketika, aku terdengar bunyi siren dari belakang. Dari cermin pandang belakang aku ternampak sebuah ambulans dipandu dengan laju dan ia semakin menghampiri keretaku. Aku memperlahankan kereta untuk memberikan laluan kepada ambulans yang dalam kecemasan itu.

Ek Eleh..! aku sedikit terkejut dan rasa pelik bila melihat kereta yang dipandu 'sekadar makan angin' tadi mengekori ambulans yang laju itu untuk memotong keretaku dan beberapa buah kenderaan lain. Tapi tak apalah.., mungkin dia sudah ubah fikiran dan mahu segera sampai ke destinasinya.

Tapi sangkaanku meleset belaka. Aku terhalang lagi dek pemandu yang 'sekadar makan angin' tadi di depanku. Dia kembali memandu dengan terhegeh-hegeh dengan muka selambanya. Di depannya tiada sebuah pun kenderaan lain. Disebabkan dia, kenderaan-kenderaan lain kembali tersusun-susun di belakangnya.

Aku sekadar menggelengkan kepala. Kalau sekadar mahu memandu terhegeh-hegeh dan menyusahkan orang lain, kenapakah dia kemaruk sangat mahu duduk di depan kenderaan-kenderaan lain yang telah bersekesempatan memotongnya tadi?

Pelik sungguh perangai/tabiat atau 'hobi' manusia yang sebegitu. Agaknya.., menusia jenis apakah dia itu..?

Keselesaan memandu kembali terasa setelah melepasi lampu isyarat untuk memasuki kawasan Gambang.

Dan mujurlah dalam perjalanan pulang aku tidak menemui perangai manusia yang serupa itu.

Alhamdulilah... kami pergi dengan selamat dan kembali pun dengan selamat..!

2 comments:

nahmy said...

ituuuu....manusia yg tak de jenis tu tuan.

MAZEMIE MAZ said...

nahmy;
btoi tu..!