Thursday, May 28, 2009

HIDUP VS MATI

Semalam yang berlalu pergi
bersyukurkah kerana hari ini
nadi masih berdenyut lagi
atau mensiakan kesempatan menyempurnakan diri?

Hari ini yang dihadapi
sebelum esok yang pasti
terhimpunkah ketakwaan yang diredahi
atau terus kelekaan sehingga helaan nafas terhenti?

Esok yang belum pasti
sebelum lusa berganti
akan berdenyutkah lagi nadi ini
untuk mengumpul pahala yang diberkati?

Lusa yang berganti
sebelum hari-hari lain menanti
mampukah melontar dosa diri
sebelum bersedia dijemput menghadap Ilahi?

Hidup - Insya-Allah
mati - adalah pasti yang pasrah.

Friday, May 22, 2009

PUISI

KE MANA SELEPAS ITU

Tatkala awan hitam songsang berarak
bakal menghamburkan jelaga dan keladak
ke mana agaknya kita akan berginjak
sebelum kehitaman mengotori pundak?

Tatkala bayu melintang berhembus laju
tiada lagi kebiasaan menderu
sepoi-sepoi bahasa seperti dahulu
ke mana agaknya kita akan berlalu
sebelum halilintar ganas menuju
dan puting beliung menerjah bertalu?

Agaknya ke mana kita selepas itu
jika rumah sendiri telah terkunci dan terkatup
penghuni lain telah berkuasa di pintu
dan mereka tak diundang itu
tidak pernah kita kenal dan tahu.

Dan kita yang tiada apa-apa lagi
terpaksa berlalu dan pergi
sekadar memberontak dalam diri
lewat penyesalan silih berganti
dan kecewa menanti pasti.

Mazemie Maz
Seremban.

(Petikan Halaman SASTERA - BERITA HARIAN - SABTU 23 MEI 2009)

Thursday, May 21, 2009

MINUMAN RINGAN JEJAS KESIHATAN

Berhati-hati dengan minuman ringan. Ia memang tidak baik untuk kesihatan.

Terlalu banyak minum minuman ringan setiap hari boleh menyebabkan seseorang itu mengalami masalah otot, degupan jantung tidak normal, malah boleh menjadi lumpuh.

Minuman ringan - kalau diambil secara kerap boleh menyebabkan keadaan yang digelar hypokalaemia iaitu penurunan paras potasium dalam darah, yang membawa kepada lemah badan dan sembelit hingga lumpuh.

Wednesday, May 13, 2009

Sebilangan kita mengakui, bahawa dialah yang paling layak untuk menjadi pemimpin atau memikul segala amanah. Sementara sebilangan yang lain pula berkata merekalah sebenarnya yang paling layak.

Mereka yang terpilih sebagai pemimpin atau untuk memikul sesuatu tanggungjawab itu, tidak bermakna hanya mereka yang benar-benar layak dan terbaik. Dan mereka yang tidak terpilih pula tidak semestinya mereka itu tidak layak atau tidak berkemampuan.

Ada kalanya kuasa penentu dan suara pemilihan itu amat mengelirukan Malah ada kalanya juga, lagi mencelaru dan mengharukan.

Bagaimanapun, mereka yang diberikan kepercayaan dan tanggungjawab, anggaplah ia sebagai amanah yang perlu dilunaskan dengan baik dan sempurna, untuk kebaikan semua yang berkaitan dengannya.

Pesan Rasulullah SAW:

"Apabila amanah telah disia-siakan, maka tunggulah kehancuran. Sahabat bertanya: "Bagaimana mensia-siakannya? Rasulullah menjawab: "Apabila sesuatu jawatan diserahkan kepada orang-orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya." - Hadis riwayat Bukhari.

Maka, renung-renungkanlah...

Saturday, May 9, 2009

IBU... KAULAH PERMATA

Kaulah permata berharga
bertarung nyawa serta derita dan seksa
mengandung dan melahirkan anak-anak di dunia
dengan terpelihara adat dan susila.

Kau sentiasa berupaya
tiada pernah mengaku derita
di jiwamu berbunga ikhlas dan redha
tempat bermanja dan pengubat nestapa.

Kau tidak pernah meminta-minta
untuk dibalas pengorbanan dan jasa
kasihmu tercurah mewangi semesta
tak terbanding dengan apa jua segala.

Sekalung hormat tersemat
segunung kasih terikat erat
kaulah insan keramat
anugerah Allah yang terhebat.