Wednesday, January 28, 2009

0018 : KENAPA TAK SETIA?

Setia itu kejujuran
setia itu kemanisan
setia itu keimanan
setia itu kemanusiaan.

Setia yang tercalit pada mulut
sudahnya menjadi janji karut
setia yang pecah di perut
sudahnya menjadi kalut.

Bila setia tidak lagi jadi pegangan
setia akan jadi pertaruhan
setia jadi gadaian
setia sekadar andaian.

Setia bila ada kepentingan
setia bila ada habuan
setia bila diberi imbuhan
setia sekadar ungkapan.

Setia luntur bila kepentingan dinafikan
setia hancur bila habuan disisihkan
setia musnah bila imbuhan dimatikan
setia rosak bila tiada keimanan
setia adalah igauan murahan.

Setia sudah tidak hebat
setia sudah tidak kuat
setia sudah tidak selamat
andainya setia itu sebenarnya keparat!

Wednesday, January 21, 2009

0017 : KENAPA PERLU BERUBAH?

Meskipun pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu sudah selesai, namun 'pahat'nya masih berbunyi. Pelbagai pandangan dan pendapat yang diberikan oleh penulis dan peminat-peminat politik, terutama mengenai kekalahan BN. Ada yang mengatakan kekalahan tersebut disebabkan tersalah pilih calon, sikap penyokong dari Pemuda dan Puteri serta masalah dalaman UMNO sendiri.

Apa pun, rumusannya ternyata UNMO (BN) tidak diterima rakyat Kuala Terengganu. Walau apa saja alasannya, ternyata itulah keputusannya. Keputusan dan pilihan yang dikehendaki oleh rakyat Terengganu.

Memang adat pertandingan ada kalah atau menang. Itu perkara biasa. Tapi sekiranya UMNO (BN) mahu terus diterima rakyat dan dianggap parti yang terus releven, ia seharusnya berubah. Atau dengan bahasa jelasnya, UMNO (BN) perlukan pembersihan segera dan singkirkan calon-calon yang terlalu menonjol dengan kelesesaan sikap elit, ego, terlalu kemewahan dan tidak mesra rakyat.

Begitu juga pemimpin yang hanya muncul dengan muka manis setiap kali hampir pilihan raya, kemudian setelah menang hilang entah ke mana. Kalau bertemu rakyat sekali sekala pun masih dengan muka serius, dan menunggu rakyat yang hormat dengan mengangkat tangan manakala pemimpin berkenaan membalas hanya mengangkat setengah ketinggian saja, seolah-olah terpaksa. Namun bila tiba kembali pilihan raya, barulah tangan pemimpin berkenaan akan terangkat tinggi mengatasi kepala semula dengan senyum selebar lautan untuk meraih undi rakyat. Pemimpin sebeginilah yang menimbulkan kebencian di kalangan rakyat.

Rakyat hari ini tidak begitu hairan dengan janji pembangunan, bantuan surau atau masjid serta bantuan itu ini pada setiap kali wujudnya pilihan raya kecil. Perbuatan sebegitu sesungguhnya meloya dan memuakkan rakyat yang merasakan diri mereka seperti anak-anak yang mudah dipergula-gulakan.

Bagi rakyat semua itu dianggap tidak jujur. Sebaliknya kalau ada kejujuran pemimpin, bantuan sebegitu seharusnya diberikan berterusan, yang mereka anggap itu sememangnya tanggungjawab pemimpin.

Rakyat hari ini memerlukan pemimpin yang bukan setakat dikenali oleh rakyat, malah pemimpin yang mesra rakyat. Pemimpin yang menjenguk khabar rakyat tidak mengira waktu, sanggup bangkit tengah-tengah malam buta melihat masalah rakyat, sanggup makan semeja di gerai di tepi jalan dengan rakyat, malah sanggup bergurau senda dengan rakyat tak kira kedudukan. Itulah pemimpin idaman rakyat hari ini. Bukannya pemimpin yang hanya popular di kalangan parti dan dianggap baik atau sempurna di dalam parti. Tapi rakyat mahu pemimpin yang baik dan sempurna di mata mereka.

Rakyat juga memerlukan pemimpin yang bukan saja dilihat bersih dari rasuah atau kepentingan diri, malah pemimpin itu mestilah sebenar-benar bersih, termasuk ahli keluarga dan saudara maranya juga.

Banyak perkara yang UMNO (BN) perlu lakukan untuk meraih kembali keyakinan rakyat. Selagi rakyat masih menganggap sesiapa saja yang menjadi calon UMNO (BN) sebenarnya ada udang di sebalik batu, atau bahasa jelasnya semata-mata untuk mencari (meraih) kepentingan dan keuntungan diri, selagi itulah rakyat akan menolak, walaupun calon berkenaan berkelulusan setinggi langit, dengan jawatan menteri atau timbalan menteri dalam kabinet.

Sedarlah bahawa rakyat hari ini telah bangkit dengan kesedaran diri atau melalui pelbagai persepsi. Walaupun dengan sedikit persepsi tidak baik pun dilontarkan terhadap pemimpin dan calon-calon tertentu, rakyat akan mudah percaya dan menerimanya. Apatah lagi jika pemimpin atau calon itu datangnya dari parti yang pernah digembar-gemburkan dengan isu rasuah atau perbuatan tidak disenangi rakyat.

Jadi, parti seharusnya memainkan peranan yang besar dan berat untuk menangkis semua tuduhan dan membersihkan gejala berkenaan yang sekali gus akan membersihkan nama parti. Lantas setiap pemimpin atau calon seharusnya tidak sedikit pun tercalit dengan pelbagai persepsi atau tuduhan yang tidak baik, seandai mereka mahu diterima rakyat.

Monday, January 19, 2009

0016 KENAPA KALAH?

Kalah kerana lemah
kalah kerana sokong membawa rebah.

Kalah kerana maklumat tak sampai
kalah kerana tanggungjawab diabai.

Kalah kerana orang tak percaya
kalah kerana orang tak suka.

Kalah kerana kemampuan diri tak kuat
kalah kerana kemampuan lawan lebih hebat.

Kalah kerana berbeza ideologi
kalah kerana strategi dah basi.

Kalah kerana orang benci
kalah kerana diri tak disukai.

Kalah kerana masalah dalaman
kalah kerana gunting dalam lipatan.

Kalah kerana tak dapat kepercayaan
kalah kerana tak mampu raih rayuan.

Kalah kerana tagihan tak bersahut
kalah kerana musuh dalam selimut.

Kalah kerana tak terpilih
kalah kerana orang yang memilih tahu apa yang dipilih.

Kalah kerana ada yang marah
kalah kerana tak percayakan sejarah.

Kalah kerana tak mampu menangkis tohmahan
kalah kerana sokongan tiada kekuatan.

<:AtomicElement>Kalah kerana tak mampu mencapai kemenangan
<:AtomicElement>kalah kerana tiada yang memberi sokongan.
<:AtomicElement>
Kalah kerana silap strategi
kalah perlu lagi bermuhasabah diri.

Saturday, January 10, 2009

0015 : KENAPA KUASA?

Yang berkuasa terus berkuasa
tanpa hiraukan suara dunia.

Yang berkuasa terus mengganas
tanpa menunjukkan rasa belas.

Yang berkuasa sengaja mencipta helah
tanpa pedulikan segala masalah.

Yang berkuasa terus menggila
dengan mengenepikan harganya nyawa.

Yang berkuasa terus bermaharajalela
dengan kejam membunuh sesuka.

Yang berkuasa terus bertindak membuta
dengan angkuh mendabik dada.

Yang berkuasa semakin tunjukkan kuasa
biarpun ramai yang menjadi mangsa.

Yang berkuasa menindas yang lemah
tranpa sedikitpun rasa bersalah.

Yang berkuasa semakin menjadi-jadi
demi tersembunyi kepentingan diri.

Yang berkuasa pentingkan kuasa
yang malang menanggung sengsara.

Yang berkuasa mengundangkan bala
sungguh keji dan terhina.

Yang berkuasa membunuh yang malang
kuasa dunia tak mampu menghalang.

Yang berkuasa terus mencipta bencana
sampai bila nak amannya dunia?

Yang berkuasa mengundangkan celaka
Doakan durjana menimpa mereka!






Saturday, January 3, 2009

0014 : KENAPA ISLAM?

Malang ISLAM yang mulia
umatnya dicaci dicela
kesuciannya dikeji dinoda
keagungan Nabi diperlekeh dipersenda
dimanakah silapnya?

Kemuliaan Islam tak dihormati
kebaikan Islam disalaherti
kemurniaan Islam tak dimanfaati.

Adakah kerana umat Islam sendiri
yang tak tahu menghargai
agama suci anugerah Ilahi?

Islam dipandang buruk tak lagi indah
adakah kerana sesama Islam sering bertelagah
sukar bersatu dengan mudah
sesama sendiri sering bercanggah
islam yang mudah lagi dipermudah
kerana berkepentingan sanggup Islam disanggah?

Adakah kerana gilakan kuasa
islam sanggup dijaja?

Adakah kerana berkepentingan peribadi
islam menjadi galang ganti?

Adakah kerana kepentingan duniawi
islam sanggup dicagari?

Apakah kesudahannya nanti
jika Islam sendiri tak menginsafi
jika Islam sendiri tak sedar diri
akhirnya Islam juga yang rugi.

Maka fikir-fikirlah berkali-kali
dengan akal bijak bestari
dianugerahkan Ilahi.