Friday, November 28, 2008

0007 : KENAPA SAYANG & CINTA?

Ketika merawat pesakit-pesakit warga tua, para jururawat di Britain dinasihati tidak menggunakan perkataan 'sayang' atau 'cinta' ketika memanggil pesakit-pesakit tersebut. Kerana panggilan itu dianggap sebagai biadap?

Biadap? Ah, agak pelik bunyinya.

Maka satu garis panduan terbaru bagi jururawat dan petugas perbidanan, menyifatkan sebarang panggilan selain nama sebenar pesakit, tidak harus digunakan lagi.

Pihak berkuasa kesihatan sebaliknya mewajibkan jururawat itu bertutur dengan penuh hormat dan lembut kepada pesakit.

Sikap sebegitu memanglah sepatutnya diamalkan. Apatah lagi para jururawat yang berperanan 'menyembuhkan' pesakit. Tidak benarkah begitu?

Dan berbalik mengenai larangan itu lagi, sebagaimana yang dilaporkan akhbar Daily Telegraph, para jururawat juga dikehendaki memanggil pesakit dengan nama sebenar mereka dan bukannya gelaran seperti sayang atau cinta.

Bagaimanapun, bagi kes-kes tertentu, panggilan 'sayang' atau 'cinta' itu boleh digunakan jika ia menjadi sebahagian cara ditetapkan untuk melayan pesakit tertentu.

Oh, begitu pula? Lagi pelik. Ada masa boleh dan ada kalanya tak boleh?

Ah, undang-undang manusia... apa nak dihairankan kalau biasa berubah-ubah mengikut keadaan dan keperluan dan kepentingan dan kekerabatan. Agaknyalah.

Dan yang paling pelik lagi, kenapa dengan 'sayang' dan 'cinta' itu? Apa yang tidak kena dengan 'dua perkataan' itu sehingga dihukum sedemikaian?

Mungkin mereka saja yang tahu dan ada alasan tertentu.

Maka tertanya-tanya hati kecil hamba, adakah larangan sebegitu sudah terpakai juga di negara kita sejak dulu lagi? Sebabnya, hamba juga tidak pernah terdengar ada di antara mereka yang terlibat dengan pesakit memanggil pesakit mereka dengan panggilan 'sayang' , selain ahli keluarga mereka.

Ah, mungkin hamba tersilap sangka agaknya. Kerana hamba jarang sakit dan dimasukkan ke wad. Kalau hamba tersilap, harap maafkan hamba. Hamba hanya insan biasa.

P/s: Biar kita saling tegur menegur daripasa saling sungkur menyungkur..!

Thursday, November 27, 2008

0006 : KENAPA NENEK WOOK?

Seorang lelaki bernama Mohd Nor Musa, berusia 37 tahun, memilih Wook Kundur yang berusia 106 tahun sebagai pasangan hidupnya.

Selepas tiga tahun menjalani hidup bersuami isteri, Wook menyatakan dia mempunyai rahsia tersendiri untuk memastikan dunia perkahwinannya dengan Mohd Nor terus bertahan.

Antara rahsianya, kata Wook, dia mengamalkan beberapa perkara untuk membahagiakan suaminya yang lebih muda 69 tahun daripadanya itu. Antaranya nenek Wook sentiasa berfikiran positif, ceria dan mengurut tubuhnya sendiri.

Kata warga emas itu lagi, ketiga-tiga perkara itu membuatkan dirinya sentiasa muda dan mampu melayan suaminya dengan baik. Melayan makan minum dan pakai serta kemahuan suaminya seperti juga wanita-wanita lain.

Sudah tiga tahun mereka hidup bersama. Maknanya, sewaktu Mohd Nor berkahwin dengan nenek Wook, usianya ketika itu ialah 34 tahun dan isterinya pula 103 tahun.

Tentu ramai yang tertanya-tanya, kenapa nenek Wook yang sudah berusia sebegitu yang menjadi pilihan Mohd Nor. Adakah Mohd Nor sudah mengetahui akan kehebatan nenek Wook (walaupun sudah terlanjut usia) lantas dia begitu tertarik dan berminat untuk menjadikan wanita itu teman hidupnya?

Mungkin sebagaimana yang sudah tersurat, itulah jodoh mereka.

Mohd Nor merupakan suami yang ke 22 dan termuda bagi nenek Wook.

Sesungguhnya bagai dikata, adapun jodoh pertemuan itu Tuhan yang menentukan. Manusia sekadar mampu merancang dan berusaha.

Apa pun, semoga berbahagia dan berkekalan jodoh Mohd Nor dan nenek Wook. Insya-Allah.

Wednesday, November 26, 2008

0005 : KENAPA YOGA?

YOGA. Fatwa pengharamannya bagi umat Islam telah menimbulkan pro dan kontra. Badan-badan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam yang begitu lantang membantah.

Kata mereka, yoga yang juga dikenali sebagai senaman yang menggabungkan pergerakan fizikal dan pernafasan itu tiada kaitan dengan agama.

Begitu juga dengan umat Islam sendiri. Ramai juga yang agak terkilan dengan fatwa itu. Kata mereka, ia sekadar senaman biasa juga. Tapi ada sedikit kelebihan bagi pengamal-pengamalnya. Kerana ia mampu memulihkan penyakit-penyakit tertentu.

Aku juga ada terdengar ungkapan-ungkapan berbaur sinis sewaktu beberapa orang sedang bersarapan di sebuah warung di tempatku.

Mereka juga senada dengan pengamal-pengamal lain senaman itu, yang tidak begitu senang dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Apalah salahnya dengan yoga. Kebanyakan orang Islam yang mengamalkan senaman itu biasanya diajar oleh orang Islam juga. Tak ada doa, tak ada apa-apa mentera pun. Cuma pelakunya perlukan tumpuan dan perhatian ketika beryoga. Di mana salahnya?" ujar seorang antara mereka.

"Aku pun nampak macam tu juga. Malah tak ada pun yang sehingga terpesong akidah mereka disebabkan senaman itu..!" celah rakannya pula.

Aku sekadar memasang telinga sambil menjamah sarapan.

Pendek kata, mereka semakin keliru dan mencelarukan. Selagi banyak yang berkata begitu dan begini, maka semakin keliru dan mencelarukan lagi nantinya.

Mereka yang berada di dalam Majlis Fatwa itu adalah pakar-pakar dalam bidang Islam yang tahu akan tanggungjawab mereka. Mereka telah membuat fatwa. Kita sebagai umat Islam, sepatutnya mengikut sahaja.

Sebagai alternatif, bukankah ada banyak senaman lain yang boleh diamalkan. Atau pilih saja beberapa pergerakan dalam silat yang boleh diangkat sebagai senaman atau pergerakan fizikal serta pernafasan yang boleh diamalkan.

Apa perlunya untuk kita terus berkontroversi dengan sesuatu yang boleh menimbulkan keraguan, lebih-lebih lagi yang melibatkan akidah. Apatah lagi setelah ia diharamkan.

Renung-renungkanlah...

Tuesday, November 25, 2008

0004 : KENAPA NEGATIF?

Baru-baru ini sebuah syarikat pengendali lebuh raya bercadang mengurangkan bayaran tol 10 peratus kepada para pengguna yang melalui beberapa lebuh raya kendaliannya.

Tetapi ada yang pro dan kontra tentang cadangan itu, kerana syarikat itu hanya mengehadkan waktu tertentu sahaja, iaitu dari pukul 12 tengah malam hingga 7 pagi.

Rasional waktu yang ditetapkan oleh pihak pengendali lebuh raya ialah untuk mengelak kesesakan pada waktu puncak, seperti yang dialami kebanyakan lebuh raya ketika ini.

Bagi mereka yang tidak setuju, alasan mereka bahawa waktu itu tidak sesuai. Waktu seperti itu akan mendorong ke arah kemalangan di lebuh raya. Kononnya disebabkan ia adalah waktu tengah malam hingga ke awal pagi, boleh menjadi punca kemalangan kerana ramai para pengguna akan menggunakan lebuh raya. Mereka ditukarkan waktu pada siang hari, agar akan kuranglah kemalangan.

Itu satu bab. Satu bab lagi, iaitu sebelum ini, pemerintah sebuah negeri di Semenanjung bercadang memberikan air percuma pada kadar tertentu kepada seluruh rakyat negerinya, sebagai membalas jasa rakyat yang memilih parti mereka sebagai pemerintah negeri itu.

Cadangan itu pun ada bermacam-macam penerimaanya. Ada yang kata akan berlaku pembaziran. Pembaziran disebabkan air itu diberi percuma.

Persoalannya, kenapa ada antara kita yang bersikap negatif dengan situasi sebegitu? Kenapa kita tidak boleh menerimanya dengan hati terbuka?

Terfikir juga, adakah para pengguna di negara kita ini akan menerima setiap kemudahan itu secara negatif? Mentang-mentanglah lebuh raya itu kurang 10 peratus pada waktu tertentu itu, kita sebagai pengguna akan menggunakan sepenuh waktu itu tanpa mengira keselamatan diri?

Dan adakah kerana diberikan air percuma, para pengguna begitu daif pemikirannya, lalu menggunakan air itu dengan sewenang-wenangnya hingga berlakunaya pembaziran?

Begitukah sikap dan perangai kita?

Kalaupun ada yang bersikap sebegitu, seharusnya perlulah berubah.

Terimalah sesuatu yang baik untuk kita itu dengan pemikiran positif. Dan gunakalah juga ia dengan cara positif.

Friday, November 21, 2008

0003 : SAJAK (SASTERA - BERITA HARIAN - SABTU - 22 NOV 2008)

KADUK
i
'... dan kaduk pun tiba-tiba tersanjung
namanya tiba-tiba terjulang, dan lehernya terkalung.
Angan-angan pun terangkat, terjungkit melambung.
ii
Begitulah di luar duga, di pinggir sangkaan
suara kaduk pun berlaga-lagaan, bersahut-sahutan
bukan meminta hujan berlimpahan
tapi menunjuk-nunjuk kepandaian
melontarkan suara, berbidal-bidalan,
bersorak-sorakan kebanggaan
atas terkalungnya kejuaraan
maka kolam dan paya pun berselerakan.
iii
"... dan si buta hati pun menyesali
membencikan tindakan diri.
Sementara si pendek akal menepuk dada, mengetuk dahi
kesal di hujung marah, kebebalan sendiri.
Bebal meletakkan kaduk di kolam halaman
mengotorkan taman yang sekiannya berseri.
iv
Menyesal apanya bertali-tali
sedangkan kaduk berterusan menyanyi
meriahnya di musim ini,
biarpun sumbangnya suara membingitkan
dalam renyai hujan kedinginan
selagi waktu ditentukan
selagi ia dirasakan amat mendamaikan
dan peduli apa dengan penyesalan.
MAZEMIE MAZ
Taman Selasih, Sikamat, Seremban.
(SASTERA - BERITA HARIAN - 22 NOV 2008)

Wednesday, November 19, 2008

0002 : KENANGAN SEMALAM DIULANG CETAK

Khabar yang amat menggembirakan.

Aku telah diberitahu oleh En. Mohd Ali (Editor Buku Prima) bahawa novelku yang berjudul 'KENANGAN SEMALAM' yang diterbitkan oleh Buku Prima telah diulang cetak lagi.

Sungguh menggembirakan, kerana novelku yang setebal 480 muka surat itu mendapat sambutan yang agak menggalakkan daripada peminat-peminat novel.

Terima kasih atas sokongan anda semua.

0001 : ASSALAMUALAIKUM..!

SELAMAT BERTEMU...

KEPADA SESIAPA SAJA YANG MENGENALIKU...
KEPADA SESIAPA SAJA YANG MEMBACA NOVEL-NOVELKU...
KEPADA SESIAPA YANG MINAT MEMBACA PUISI-PUISIKU...
KEPADA SESIAPA JUA YANG MEMBERI SOKONGAN TERHADAP PENULISANKU...

TERIMA KASIH YANG TIADA TERHINGGA...